PETALING JAYA: Tempoh indah Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani sebagai beregu lelaki No. 1 dunia bakal berakhir lebih awal daripada dijangka.
Pasangan negara itu akan kehilangan takhta ranking dunia kepada gandingan Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae dalam kemas kini ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF), minggu depan.
Langkah pasangan Korea itu ke suku akhir Terbuka Jepun semalam sudah cukup untuk memintas Sze Fei-Izzuddin, tanpa mengira keputusan beregu negara di Tokyo.
Ianya pastinya satu tamparan hebat buat Sze Fei-Izzuddin yang mencipta sejarah pada 27 Mei lalu sebagai beregu lelaki pertama Malaysia menduduki ranking No. 1 sejak Goh V Shem-Tan Wee Kiong tujuh tahun lalu.
Namun, kebangkitan luar biasa Won Ho-Seung Jae musim ini sukar dinafikan apabila menjuarai Terbuka Malaysia, Jerman, Indonesia, All England selain muncul naib juara di India serta Singapura.
Keputusan itu juga bakal memberi kelebihan besar kepada mereka untuk mengukuhkan kedudukan jika mara ke separuh akhir atau final di Tokyo.
Situasi ini sedikit mencacatkan suasana positif kem badminton negara walaupun empat beregu masih bersaing di suku akhir Terbuka Jepun, hari ini. – UTUSAN