LONDON: Bintang Poland, Iga Swiatek mengesahkan kemaraan ke final Wimbledon pertamanya dengan penuh bergaya selepas membelasah Belinda Bencic 6-2, 6-0 dalam separuh akhir di Centre Court, awal pagi tadi.
Pilihan kelapan kejohanan itu langsung tidak memberi ruang kepada bekas juara Olimpik dari Switzerland, menamatkan aksi dalam tempoh 71 minit di bawah cuaca panas terik.
“Sejujurnya, saya tak pernah terbayang pun boleh ke final Wimbledon. Saya benar-benar teruja dan bangga dengan diri saya sendiri.
“Saya sangka dah alami macam-macam di atas gelanggang, tapi realitinya saya belum pernah bermain baik di gelanggang rumput. Jadi ini benar-benar luar biasa buat saya,” kata Swiatek.
Swiatek yang berusia 24 tahun terus meluru mendahului 3-0 sebelum mematikan set pertama menerusi satu lagi ‘break’ bersih dalam game kelapan.
Bencic yang baru kembali ke gelanggang Oktober lalu selepas berehat melahirkan anak perempuannya, Bella, jelas tidak mampu menyaingi kekuatan mental dan fizikal lawan.
Pemain ranking ke-35 dunia itu tidak mampu mencuri sebarang game dalam set kedua apabila Swiatek mengawal sepenuhnya rentak permainan dan menutup perlawanan dengan penuh dominan.
Kemenangan itu menandakan kebangkitan Swiatek yang sebelum ini tenggelam di Wimbledon, malah belum pernah mara melebihi suku akhir sejak debutnya di kejohanan berprestij itu.
Namun selepas muncul naib juara di Bad Homburg bulan lalu, juara lima kali Grand Slam itu kini berada kembali dalam kelompok empat terbaik dunia.
Swiatek akan berdepan Amanda Anisimova pada esok, pertemuan pertama antara kedua-dua bintang generasi baharu yang sedang memburu gelaran Grand Slam di gelanggang rumput. – AGENSI