PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengenal pasti suspek lain yang terbabit dalam sindiket penyeludupan besi buruk dan e-waste di lima buah negeri.
Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin berkata, pihaknya kini meneliti sumber kewangan suspek serta syarikat yang disiasat menerusi kerjasama dengan agensi-agensi seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, dan Bank Negara Malaysia
“Selain siasatan mengikut Seksyen 16 dan 18 Akta SPRM 2009 serta di bawah kesalahan aktiviti pengubahan wang haram oleh SPRM, siasatan juga dilakukan mengikut Akta Cukai Pendapatan 1967 selain Akta Kastam 1967 oleh agensi-agensi yang terlibat dalam operasi ini,” katanya.
Sementara itu, sumber berkata, seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri yang disiasat sebelum ini, sekali lagi dirakam percakapan.
“Setakat ini seramai 27 orang saksi sudah dirakam percakapan bagi membantu siasatan.
“Salah seorang suspek yang dipercayai telibat dalam kegiatan ini juga sudah dirakam percakapan hari ini dan sehingga kini tiada tangkapan dibuat,” katanya.
Sumber itu juga berkata, SPRM setakat ini sudah membekukan sebanyak 324 akaun perbankan iaitu 142 milik syarikat serta 182 milik individu yang melibatkan nilai hampir RM150 juta dengan nilai sitaan kira-kira RM183 juta.
“Secara keseluruhannya, nilai sitaan aset dan pembekuan akaun kini adalah sebanyak lebih RM332 juta,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan jenayah penyeludupan keluar besi buruk untuk dieksport dengan diikrarkan sebagai barangan jentera dan logam lain yang tidak dikenakan cukai eksport sebanyak 15 peratus sebagaimana ditetapkan kerajaan.
Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri terbabit antara individu disiasat SPRM selepas kegiatannya terbongkar selepas SPRM menyerbu lima negeri terbabit sindiket penyeludupan besi buruk terbabit.
Sindiket itu menyebabkan negara mengalami kerugian hasil cukai eksport dipercayai mencecah lebih RM950 juta sejak enam tahun lalu.- UTUSAN