GCED: Solidariti kerjasama sekolah Malaysia dan Singapura

Solidariti menerusi kerjasama sekolah Malaysia dan Singapura

GCED memberi peluang kepada pelajar dua negara Malaysia dan dan Singapura merapatkan hubungan dan kesatuan ASEAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Tun Hussein Onn 2 Cheras, baru-baru ini mengadakan kerjasama dengan Sembawang Primary School Singapura, dan sekolah-sekolah sekitar Daerah Hulu Langat dalam aspek kewarganegaraan sejagat atau Global Citizenship Education (GCED). Solidariti dalam pendidikan GCED merujuk kepada semangat kebersamaan, kerjasama, dan saling memahami antara individu dan komuniti dalam bidang pendidikan .

GCED ialah pendekatan pendidikan yang bertujuan membentuk pelajar menjadi warganegara global yang aktif, bertanggungjawab, dan beretika.

 

GCED merupakan satu bentuk pendidikan sivik yang menerapkan elemen kesatuan kepada semua warga dunia untuk memberikan inspirasi kepada semua pelajar dalam pelbagai lapisan umur untuk memberikan sumbangan positif kepada komuniti antarabangsa.

GCED menerapkan elemen saling menghormati dan saling memahami tentang perbezaan budaya, agama dan bangsa dalam kalangan penduduk dunia yang mula diterapkan kepada murid-murid di sekolah rendah dan juga di sekolah menengah.

Jika dibandingkan dengan beberapa negara maju, aktiviti GCED sudah mula diterapkan dengan mewujudkan aktiviti perkongsian dengan beberapa buah negara untuk saling berkongsi akan perbezaan agar sama-sama dapat mewujudkan suasana harmoni sebagai warga dunia.

Hal ini dapat diterapkan melalui aktiviti seperti aktiviti silang budaya dan ketamadunan. Sejak penubuhan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa bangsa Bersatu (UNESCO) pada tahun 1947, elemen GCED sudah mula diterapkan dalam setiap aktiviti pertubuhan tersebut supaya dapat mewujudkan nilai-nilai amalan keamanan dunia sejagat sedangkan GCED hanya diterapkan secara rasmi pada tahun 2011.

Dalam program tersebut elemen kebudayaan turut diketengahkan SK Bandar Tun Hussein Onn 2 selaku tuan rumah.

Pelaksanaan program tersebut menekankan kepentingan pendidikan rentas sempadan yang mampu menghubungkan murid daripada latar belakang budaya dan sistem pendidikan yang berbeza. Sepanjang program, pelbagai aktiviti kerjasama dijalankan secara dalam talian dan secara fizikal, antaranya ialah sesi perkongsian budaya, projek berkumpulan bertema Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), aktiviti pen pal (surat/video), serta bengkel kesedaran global dan persembahan murid.

 

 

Murid-murid diberi peluang untuk berkongsi tentang adat dan budaya masing-masing melalui persembahan pakaian tradisional, lagu dan tarian rakyat, serta cerita rakyat dari negara masing-masing.

Projek kerjasama yang dijalankan pula meliputi topik-topik penting seperti kelestarian alam sekitar, keamanan sejagat, dan pendidikan berkualiti. Murid daripada setiap sekolah bekerjasama menggunakan platform digital untuk menghasilkan video, poster digital dan laporan bersama.

Antara impak utama yang dapat dilihat daripada pelaksanaan program tersebut adalah peningkatan kefahaman murid terhadap isu global dan kesedaran tentang peranan mereka sebagai agen perubahan di peringkat komuniti dan antarabangsa.

Program berkenaan mengukuhkan semangat perpaduan, hormat-menghormati serta menjalin persahabatan rentas sempadan antara murid Malaysia dan Singapura.

Di peringkat guru pula, kerjasama tersebut membuka ruang perkongsian amalan terbaik dalam pedagogi dan pendekatan pembelajaran global.

Guru-guru daripada kedua-dua negara telah bertukar pandangan dan bekerjasama rapat dalam merancang aktiviti yang inklusif dan bermakna untuk murid. Program GCED perlu dikategorikan sebagai program berimpak tinggi yang memberikan faedah kepada negara. Keterbukaan dalam menerima atau memberikan pendapat adalah satu proses penting dalam proses negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN