Walaupun terletak di kawasan luar bandar dan menghadapi kekangan kemudahan dan peralatan pada awalnya, Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Sampo, Jempol, Negeri Sembilan masih mampu melahirkan bakat-bakat cilik dalam sukan gimnastik.
Kesungguhan yang ditunjukkan pihak sekolah turut menjadikan SK Sungai Sampo sebagai satu-satunya sekolah masyarakat Orang Asli di negara ini yang aktif dalam sukan gimnastik artistik.
Kegigihan sekolah itu juga mula membuahkan hasil apabila bekas murid sekolah berkenaan iaitu Noorazrul Jamirul Jamrus, 20, berjaya meraih emas buat kontinjen Negeri Sembilan dalam kategori melombol pada Sukan Malaysia (Sukma) Ke-21, Sarawak tahun lalu.
Kejayaan yang terhasil adalah bermula dengan usaha dilakukan oleh seorang guru Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK), Mohd. Asrul Fitri Muhammad Sutan Mudo, 38,.
Mohd. Asrul Fitri berkata, pada mulanya dia cuba mencari sukan yang boleh diketengahkan kepada murid-murid di sekolah tersebut selain sukan popular seperti bola sepak dan hoki.
Katanya, fizikal anak Orang Asli yang kuat antara faktor yang mendorongnya untuk mengasah bakat mereka dalam sukan gimnastik.
“Kalau kita perhatikan anak-anak Orang Asli ini, mereka mempunyai fizikal yang kuat. Oleh itu, saya menggunakan kelebihan mereka bagi mengasah bakat supaya mampu bertanding di peringkat yang lebih tinggi.
“Segala rutin latihan mengikut tahap murid daripada Tahun Satu hingga Tahun Enam supaya mereka lebih bersedia menyertai pertandingan” katanya ketika ditemui kepada Utusan Pelajar baru-baru ini.
Mohd. Asrul Fitri berkata, dia sangat gembira dan terharu apabila anak didiknya, Noorazrul Jamirul berjaya merangkul pingat emas dalam Sukma 2024.
PASUKAN gimnastik SK Sungai Sampo ketika berlatih di dewan terbuka sekolah berkenaan baru-baru ini.“Bagi saya ia merupakan pencapaian yang amat bermakna kerana dia merupakan murid pertama yang yang dilatih oleh saya. Membanggakan, dia juga menjadi murid pertama di sekolah ini yang berjaya dihantar ke Sekolah Sukan Malaysia (SSM).
Katanya, pada awalnya dia menghadapi pelbagai cabaran ketika melatih Noorazrul Jamirul termasuk kekurangan fasiliti di sekolah.
Kekurangan tersebut menyebabkan dia terpaksa mengubah suai meja dan kerusi murid untuk dijadikan sebagai alat sukan tersebut.
“Pada waktu itu, saya tidak mempunyai asas dalam sukan gimnastik artistik, jadi saya hanya melatih mereka berdasarkan silibus daripada buku teks PJK Kementerian Pendidikan sahaja. Segala rutin latihan hanya berpandukan buku teks itu sahaja.
“Pada permulaannya sekolah kami hanya ada dua tilam sahaja. Disebabkan harga peralatan gimnastik artistik agak mahal, saya mengambil inisiatif dengan mengubah suai kerusi dan meja pelajar untuk digunakan sebagai alat dalam latihan.
“Sekarang kami sudah mempunyai dewan terbuka dan peralatan yang bersesuaian hasil sumbangan daripada Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) dan Majlis Sukan Sekolah Negeri Sembilan” katanya.
Mohd. Asrul Fitri berkata, SK Sungai Sampo kini sudah mula melatih muridnya seawal dari peringkat prasekolah bagi melahirkan pelapis yang turut dibantu oleh tiga orang guru PJK yang pakar dalam bidang sukan tersebut.
“Sejak lima tahun lepas, sekolah kami sudah mula melatih murid daripada peringkat prasekolah lagi bagi memastikan kami mempunyai pelapis sukan gimnastik artistik untuk bertanding.
“Pada tahun lalu, seorang murid kami berjaya memenangi pingat gangsa di peringkat Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) dan kini murid tersebut telah dihantar ke SSM Pahang,” katanya yang berharap sukan gimnastik artistik dapat diperluaskan lagi di sekolah-sekolah di Negeri Sembilan terutama di sekolah Orang Asli di negeri itu.
Dalam pada itu, Noorazrul Jamirul yang kini telah menamatkan pengajian peringkat prauniversiti di SSM Pahang berterima kasih kepada gurunya itu yang telah berjaya menggilap bakatnya dalam sukan berkenaan.
“Saya pernah rasa hendak berhenti tetapi cikgu Asrul banyak memberi semangat kepada saya. Cikgu banyak membantu saya daripada segi latihan sehingga saya berjaya menjadikan saya sebagai anak Orang Asli pertama yang berjaya membawa pingat emas dalam sukan ini.
“Bukan itu sahaja, cikgu juga banyak membantu saya daripada segi akademik sehingga berjaya membantu saya untuk masuk ke SSM.
“Saya memang mengimpikan untuk bertanding dan merangkul pingat di peringkat antarabangsa sekali gus ingin membuktikan anak Orang Asli pun boleh berjaya sehingga ke peringkat lebih tinggi,” katanya yang turut sering turun padang membantu melatih pasukan gimnastik SK Sungai Sampo.
Sementara itu, Guru Besar SK Sungai Sampo, Mohd. Ahyaulumuddin Abdul Hamid, 53, berkata, sukan gimnastik bukan sekadar aktiviti sukan di sekolah berkenaan tetapi menjadi salah satu cara bagi membina keyakinan diri murid di sekolah berkenaan.
“Kami mahu keyakinan diri mereka tinggi, ada karakter dan nilai dalam diri mereka sendiri. dengan penglibatan murid dalam sukan tersebut, ia membantu meningkatkan keyakinan diri mereka apabila mereka ke sekolah menengah,” katanya.
Lebih menarik katanya, seluruh guru dan kakitangan SK Sungai Sampo turut terlibat sama dalam membangunkan sukan gimnastik di sekolah itu sehingga menjadi peneraju utama sukan tersebut di peringkat daerah Jempol.
“Saya telah mewajibkan semua guru termasuk kakitangan sekolah untuk mengambil kursus asas sijil kejurulatihan gimnastik sebagai tanda sokongan kepada usaha cikgu Asrul bagi melahirkan atlet dalam kalangan anak Orang Asli.
“Kini kami menjadi satu-satunya sekolah Orang Asli dalam negara yang mengenengahkan sukan tersebut,” katanya.
Tambahnya, Pejabat Pendidikan Daerah dan JPNS juga banyak membantu daripada segi peralatan dan infrastruktur dengan menaik taraf dewan terbuka untuk jadikan sebagai tempat latihan sukan tersebut,
“Saya juga bersyukur kerana usaha pihak sekolah ini turut mendapat sokongan mengalakkan daripada ibu bapa. Saya berharap sebuah arena gimnastik juga dapat dibina bagi memudahkan sesi latihan sukan tersebut di sekolah ini,” katanya. –UTUSAN