SHAH ALAM: Kejohanan World Corporate Golf Challenge (WCGC) Malaysia 2025 terus mencuri tumpuan apabila diserikan penyertaan Raja Muda Selangor, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah di Glenmarie Golf & Country Club, semalam.
Baginda yang juga Penaung Diraja WCGC Malaysia, beraksi bersama 132 peserta korporat di padang Garden Course yang terletak indah di jantung Shah Alam.
Hujan renyai sekitar jam 10 pagi hampir mengganggu permainan, namun cuaca cerah kembali memeriahkan suasana penuh eksklusif dan kemesraan korporat.
Pertandingan yang penuh strategi dan persaingan sengit menyaksikan lima pasangan teratas mencatat maksimum 42 mata Stableford untuk layak ke final kebangsaan di Kota Permai pada September ini.
Pasangan Cyberlan Integral Sdn Bhd, Sasi Kumar Subramaniam dan Selvan Subramaniam muncul juara sambil membawa pulang dapur induksi Cuckoo Inductrio sebagai ganjaran.
Tempat kedua milik gandingan Gavin Fung dan Lim Giin Hoong yang menerima jam pintar Huawei GT5 Pro masing-masing.
Wakil Universiti Putra Malaysia, Dr Zailani Khuzaimah dan Dr Fadzrul Abbas pula berada di tempat ketiga dan memenangi bangku Lazio rekaan Fella Design.
Peluang keemasan masih terbuka dengan pusingan kelayakan terakhir bakal berlangsung di Templer Park Country Club pada 21 Ogos ini. – UTUSAN