Di sebalik kejayaan membanggakan seorang pelajar Orang Asli, Roziana Tan Ben Hai yang meraih Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) baru-baru ini, tersirat kisah pengorbanan luar biasa seorang ibu tunggal yang sanggup mengerah kudrat di ladang demi memastikan anaknya menjejakkan kaki ke menara gading.
Roziana, 20, yang berasal dari Kampung Mentelong, Rompin, Pahang menyifatkan kejayaannya menerima Anugerah Khas Murid Cemerlang STPM 2024 sebagai hadiah istimewa buat ibunya, Rohani Labwan, 56, yang telah membesarkan dirinya dan kakaknya seorang diri sejak kecil.
Ibunya kini bekerja sebagai pekerja ladang di YP Plantation dan sebelum itu menoreh getah untuk menyara keluarga.
“Emak sudah semakin berusia, tetapi masih terpaksa melakukan kerja berat kerana tiada pilihan lain. Sebagai anak, saya bertekad mahu membalas segala pengorbanannya dan hadiah paling bermakna yang boleh saya beri adalah menjejakkan kaki ke luar negara demi masa depan yang lebih baik,” katanya ketika ditemui pada Majlis Anugerah Murid Cemerlang (AMC) SPM dan STPM 2024 anjuran Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) di Kuantan baru-baru ini.
“Emak sudah bersusah payah membesarkan kami dua beradik bersendirian malah saya tidak pernah mengenali siapa ayah saya sejak kecil. Jadi saya rasa mahu bagi dia ‘sesuatu’ sebagai balasan atas pengorbanannya itu,” ujarnya.
Berhubung niatnya untuk menyambung pengajian di luar negara, Roziana berkata, dua daripada lima permohonannya sudah diterima untuk belajar di Universiti Of Manchester, United Kingdom (UK) dalam jurusan Pengajian Sosial Ekonomi serta jurusan Hubungan Antarabangsa.
“Keputusan permohonan itu diperoleh pada hujung Jun lalu dan sekarang saya hanya menunggu jawapan untuk permohonan tajaan daripada JAKOA selain menunggu surat tawaran tanpa syarat oleh pihak universiti terbabit.
“Saya telah berbincang dengan emak mengenai hasrat untuk belajar di luar negara dan emak menyokong keputusan saya itu,” kata bekas pelajar Sekolah Mengenah Kebangsaan (SMK) Tanjung Gemok, Rompin, itu.
Tambah Roziana, dia merupakan anak Orang Asli Jakun pertama daripada kampungnya yang menyambung pengajian ke peringkat STPM dan bercita-cita mahu menjadi pegawai ekonomi sekali gus membantu keluarga dan penduduk kampung.
“Saya hendak pesan kepada Orang Asli di luar sana, kita juga mampu berjaya. Jangan takut tunjukkan kemampuan kita,” katanya.
Dalam masa sama, seorang lagi pelajar daripada Rompin, Siti Norawani Mama Almi, 18, turut menerima Anugerah Khas Murid Cemerlang SPM 2024 selepas memperoleh keputusan 9A dalam peperiksaan tersebut tahun lalu.
Norawani yang belajar di Sekolah Menengah Agama Al-Hasanah, Rompin, berkata , disiplin dan sokongan keluarga, guru dan rakan memainkan peranan penting.
“Saya bangun pukul 5 pagi setiap hari untuk menghafaz Al-Quran dan malam pula saya buat latihan Matematik. Sekolah juga banyak bantu dengan kelas tambahan dan program khas,” ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JAKOA, Zamri Mustajap dalam ucapannya berkata, seramai 149 orang pelajar Orang Asli yang memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM dan STPM tahun lalu daripada seluruh negara diraikan JAKOA pada majlis berkenaan dan empat daripada mereka menerima Anugerah Khas.
“Insentif berjumlah RM45,550 diberikan kepada murid Orang Asli cemerlang mengikut kategori pada kali ini.
“Sebanyak RM69 juta dibelanjakan bagi pendidikan yang merangkumi pelbagai inisiatif dilaksanakan JAKOA dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta beberapa agensi lain,” katanya. – UTUSAN