PERMATANG PAUH: Semua wang yang dikumpul secara haram akan dituntut semula dan dipulangkan kepada rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, biarpun wujud sentimen dan suara-suara lantang yang bertekad mahu menjatuhkan dirinya, namun kuasa dimilikinya hari ini hanya digunakan untuk melindungi kepentingan rakyat.
“Tengok ada orang kaya yang mengumpul harta semua billion-billion, ada (seorang anak kepada bekas pemimpin) yang isytihar kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) hartanya melebihi RM1 billion.
“Nak kata pejuang untuk Melayu? Silakan. Nak beli nasib Melayu? Teruskan. Tapi, kalau kau ambil RM1 bilion, bagilah balik. Orang kata, saya guna kuasa. Ya, memang betul saya nak guna peluang ini (kuasa Perdana Menteri) wang yang diambil secara haram mesti dipulangkan semula kepada rakyat,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pelan Induk Bumiputera Tunas Madani dan Projek Perumahan JKPSB di Dewan Besar, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pulau Pinang di sini, hari ini.
Anwar berkata, kestabilan politik adalah kunci utama dalam menangani situasi ekonomi semasa yang bukan hanya melanda Malaysia, malah di seluruh dunia.
“Satu dunia sekarang berdepan cabaran ekonomi. Tapi, orang tetap maki saya hari-hari, itu kerja mereka. Kata saya zalim kerana naikkan cukai, walhal langkah itu dibuat berasaskan dasar.
“Saya kenakan kenaikan tarif elektrik 15 peratus untuk industri besar yang raih keuntungan besar, mereka mampu bayar lebih. Bagaimana nak cari dana untuk pendidikan dan pekerjaan kalau bukan daripada cukai orang kaya? Negara kita ada hutang besar,” katanya. – UTUSAN










