EAST RUTHERFORD: Dua gergasi Eropah, Paris Saint-Germain dan Chelsea bakal bertempur dalam pentas final Piala Dunia Kelab edisi baharu FIFA di Stadium MetLife, New Jersey, awal pagi Isnin ini.
Pertembungan dua kuasa besar itu menjadi kemuncak kejohanan 32 pasukan selama sebulan di Amerika Syarikat yang turut mencetus perdebatan cuaca panas dan ketumpatan kalendar.
PSG tampil bergaya dengan tujuh kemenangan dalam lapan aksi terakhir tanpa bolos, termasuk membelasah Real Madrid 4-0 di separuh akhir hasil tekanan tinggi yang menyesakkan.
Ousmane Dembele, Vitinha serta dua bek sayap, Nuno Mendes dan Achraf Hakimi menjadi nadi utama PSG yang memburu gelaran dunia pertama selepas menjulang Liga Juara-Juara bulan lalu.
Chelsea pula hadir sebagai ‘kuda hitam’ selepas hanya memenangi Liga Konferens Eropah dan menamatkan musim EPL dengan penuh bergelut di tangga keempat.
Pemain baharu, Joao Pedro mencuri tumpuan apabila meledak dua gol menewaskan Fluminense sambil gandingan bersama Cole Palmer tampak serasi di barisan serangan.
Barisan tengah The Blues yang dibarisi Enzo Fernandez, Romeo Lavia dan Moises Caicedo juga mendapat pujian apabila berjaya merobohkan serangan lawan dan menguasai ruang dengan efektif. – AGENSI