EAST RUTHERFORD: Paris Saint-Germain (PSG) dan Chelsea bakal bertemu dalam final Piala Dunia Kelab FIFA edisi baharu yang dijadual berlangsung di Stadium MetLife, awal pagi ini.
Pertembungan dua gergasi Eropah itu dianggap sebagai penutup sempurna kejohanan yang dilabel Presiden FIFA, Gianni Infantino sebagai permulaan era emas bola sepak kelab.
“Musim ini sangat luar biasa dan kami mahu akhiri dengan cara terbaik,” kata jurulatih PSG, Luis Enrique.
“Mereka antara pasukan paling panas dunia ketika ini, tetapi ini perlawanan akhir dan semuanya boleh berlaku,” ujar kapten Chelsea, Reece James.
PSG memburu kemenangan kelima selepas menjulang Ligue 1, Piala Perancis, Liga Juara-Juara dan menewaskan Real Madrid 4-0 dalam separuh akhir.
Chelsea pula baru meraih tempat keempat Liga Perdana Inggeris dan menjuarai Liga Konferens UEFA sebelum menewaskan Fluminense di separuh akhir.
Perlawanan bakal berlangsung pada pukul 3.00 petang waktu tempatan (3.00 pagi Isnin waktu Malaysia) dalam cuaca panas terik yang membimbangkan ramai pemain dan jurulatih.
Infantino tetap optimis dengan kejayaan kejohanan sulung ini sambil mengesahkan edisi seterusnya akan diadakan pada 2029. – AGENSI