Projek Active 2.0 bantu perkasa rawatan kanser serviks

Projek Active 2.0 bantu perkasa rawatan kanser serviks

JASMIN Jalil menunjukkan aplikator brakiterapi yang digunakan dalam merawat kanser serviks.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Usaha meningkatkan rawatan dan pemulihan pesakit kanser serviks di rantau Asia Tenggara menerima suntikan baharu menerusi pelancaran Projek Active 2.0 di Malaysia baru-baru ini yang melibatkan kerjasama enam negara serantau.

Projek yang memberi tumpuan kepada penambahbaikan keupayaan klinikal, infrastruktur dan inovasi digital dalam rawatan kanser serviks itu dijangka berlangsung selama tiga tahun.

Pengarah projek, Paul Lee berkata, pelaksanaan projek ini merupakan langkah penting dalam mempertingkatkan akses kepada rawatan lanjutan khususnya di Malaysia dan rantau Asia Tenggara.

“Melalui projek ini, Malaysia akan menambah bilangan pakar klinikal terlatih serta memperkukuh keupayaan hospital tempatan supaya lebih bersedia memberi sokongan menyeluruh kepada pesakit dalam proses pemulihan,” katanya di sini, hari ini.

Antara objektif utama projek ini adalah untuk memberi harapan kepada mereka yang sedang berjuang melawan kanser serviks selain mengurangkan ketidaksamaan akses kepada rawatan berkualiti.

Projek Active 2.0 turut merancang penubuhan empat Pusat Kecemerlangan (CoE) rawatan kanser serviks di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Pusat-pusat ini bakal dilengkapi dengan peralatan radioterapi terkini serta kemudahan infrastruktur yang lebih baik bagi menyokong rawatan jangka panjang pesakit.

Antara institusi yang terlibat secara langsung dalam projek ini ialah Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) Universiti Sains Malaysia (USM) yang menjadi satu-satunya institusi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (MOHE) terlibat dalam projek tersebut.

“IPPT menyediakan dua orang pakar onkologi dan seorang ahli fizik perubatan serta kemudahan canggih sebagai pusat latihan brakiterapi – teknik rawatan radiasi dalaman untuk kanser serviks,” katanya.

Inisiatif itu diketuai oleh Dr. Jasmin Jalil dan meletakkan IPPT sebagai salah satu daripada 17 pusat latihan terpilih di Asia Tenggara dalam bidang rawatan lanjutan kanser serviks menggunakan teknologi brakiterapi.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih 69,000 kes baharu kanser serviks dan 38,000 kematian direkodkan di Asia Tenggara pada 2022, menjadikan penyakit itu antara cabaran kesihatan utama di rantau ini.

“Walaupun teknologi rawatan moden semakin maju, akses terhad dan kekurangan tenaga pakar masih menjadi kekangan utama yang perlu ditangani secara kolektif,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN