HAUTACAM: Tadej Pogacar mempamerkan kayuhan luar biasa di pergunungan Hautacam untuk merampas kembali jersi kuning sebagai pendahulu keseluruhan Tour de France, awal pagi tadi.
Pelumba Slovenia itu meloloskan diri secara solo dalam pendakian 11 kilometer (km) dan menamatkan perlumbaan dengan kelebihan 2 minit 10 saat (s) ke atas seteru utama, Jonas Vingegaard.
“Perancangan kami memang untuk menang peringkat ini. Saya sangat gembira dapat menang dan kutip masa di pendakian ini. Pasukan saya lakukan kerja yang hebat,” kata Pogacar.
Pogacar kini mendahului kedudukan keseluruhan dengan kelebihan 3:31s, manakala Remco Evenepoel di tempat ketiga ketinggalan 4:45s.
Dia turut memberi penghormatan kepada pelumba muda Itali, Samuele Privitera yang meninggal dunia minggu ini akibat kemalangan di Tour of Aoste Valley.
“Saya terfikir tentang dia ketika kilometer terakhir. Sukan ini sangat kejam kadang-kadang. Ia menyedihkan,” katanya.
Pogacar juga mengambil alih jersi polka dot sebagai Raja Bukit dan memberi amaran perlumbaan belum tamat dengan ujian masa mendaki menanti dalam peringkat ke-13, hari ini. – AGENSI