SPA FRANCORCHAMPS: Oscar Piastri mencipta kejutan luar biasa apabila merampas petak utama perlumbaan pecut Grand Prix Belgium daripada juara dunia Max Verstappen dengan catatan masa sensasi di Litar Spa-Francorchamps, Belgium, hari ini.
Pelumba McLaren berusia 24 tahun itu merekodkan masa 1 minit 40.510 saat (s) untuk menewaskan Verstappen dengan perbezaan 0.477s dan terus mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu kejuaraan dunia.
Rakan sepasukannya, Lando Norris sekadar ketiga, diikuti Charles Leclerc (Ferrari), Esteban Ocon (Haas) dan Carlos Sainz (Williams), manakala Lewis Hamilton pula terperosok di tangga ke-18 selepas berpusing dalam SQ1.
“Itu satu pusingan yang padu. Saya sangat kecewa di Silverstone, jadi hasil ini sangat melegakan,” kata Piastri.
Verstappen yang melalui hujung minggu pertama tanpa ketua pasukan Christian Horner, tetap tenang dengan kedudukan kedua dan mengakui masih perlu memperkemas keseimbangan jentera Red Bull miliknya.
“Saya gembira dengan P2, celah dua McLaren adalah hasil yang baik. Tapi jurang masa agak besar, jadi kami perlu fokus pada diri sendiri,” kata Verstappen.
Sementara itu, ketua pasukan baharu Red Bull, Laurent Mekies tampil pertama kali di khalayak dan mengakui pelantikannya mengejutkan, namun yakin ini peluang keemasan kerana “ini adalah Red Bull”. – AGENSI