PETALING JAYA: Impian skuad kuadran lelaki negara untuk melangkah ke pentas akhir Kejohanan Sepak Takraw Piala Raja Thai 2025 berkecai selepas tewas mengejut 0-2 kepada Jepun dalam aksi separuh akhir di Songkhla, malam tadi.
Dalam pertarungan mendebarkan di Dewan Hatyai, Central Hatyai, barisan negara yang dibarisi Muhammad Noraizat Mohd Nordin, Aidil Aiman Azwawi, Muhammad Shahalril Aiman Halim, Norfaizzul Abd Razak dan Mohammad Azlan Alias terpaksa akur dengan kekalahan 11-15, 13-15.
Aksi yang penuh sengit itu menyaksikan skuad negara gagal menyaingi ketangkasan Jepun yang tampil lebih konsisten dalam setiap pergerakan.
Bagaimanapun, skuad regu berpasukan lelaki terus mempamerkan taring apabila mengesahkan kemaraan ke separuh akhir selaku juara Kumpulan B tanpa sebarang kekalahan.
Malaysia mengesahkan dominasi mereka dengan menumpaskan Laos 3-0 pada sebelah pagi sebelum menamatkan saingan peringkat kumpulan dengan kemenangan bergaya ke atas Jepun, juga 3-0.
Kelmarin, anak-anak buah negara memulakan kempen dengan langkah kanan apabila membenam cabaran Korea Selatan dan Myanmar masing-masing dengan keputusan 3-0.
Kejayaan mara ke separuh akhir regu berpasukan ini memberi harapan baharu untuk Malaysia memburu emas selepas kegagalan dalam saingan kuadran. – UTUSAN