PETALING JAYA: Ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Manshahar Abdul Jalil menegaskan ketiadaan Pengarah Teknikal Olahraga Malaysia (MA), Robert Ballard tidak menjejaskan persiapan kem negara menjelang Sukan SEA 2025, pada Disember ini.
Manshahar yang sudah pun memulakan tugasnya secara tidak rasmi berkata, segala perancangan kem olahraga negara tetap berjalan seperti biasa menjelang temasya dwitahunan itu yang berlangsung di Thailand.
“Pada pandangan saya, ketiadaan Robert Ballard tidak memberi kesan apa-apa pun. Setakat ini, dia sudah menjalankan tugasnya dan saya ambil alih untuk membantu dan sudah pasti ada penambahbaikan yang perlu dibuat untuk persiapan seterusnya,” katanya.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan MA tidak menyambung kontrak Ballard yang akan tamat pada 31 Julai ini disebabkan kekurangan dana akibat kurangnya peruntukan kerajaan dan penajaan swasta.
Manshahar turut berkata, segala perancangannya terhadap kem olahraga menjelang Sukan SEA 2025 akan dibuat selepas dia mengadakan pertemuan bersama barisan jurulatih dalam masa terdekat.
“Saya perlukan maklumat daripada jurulatih mengenai perancangan mereka terlebih dahulu menjelang Sukan SEA. Maklum balas tersebut mudah untuk saya membuat perancangan dan pelan tindakan seterusnya kepada pelatih dan atlet.
“Maklum balas daripada jurulatih itu penting sebab saya kena pastikan perjalanan ke arah Sukan SEA nanti boleh dilakukan pada tahap terbaik,” katanya.
Sebagai rekod, Manshahar pernah memikul tanggungjawab sama selama tiga tahun setengah sebelum kontraknya tidak disambung selepas tamat pada Disember 2022.-UTUSAN