ALOR GAJAH: Seorang pembantu pemasaran produk kosmetik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mencabul dan menunjukkan kemaluan kepada dua anak perempuan tirinya yang berusia lima dan enam tahun, sejak Mei lalu.
Tertuduh yang berusia 27 tahun membuat pengakuan itu sejurus tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Aiza Khairuddin.
Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa telah melakukan amang seksual fizikal terhadap kedua-dua mangsa dalam bilik dan bilik air di sebuah rumah di Taman Seri Pelangi, Rumbia dalam daerah Alor Gajah pada waktu malam antara 11 Mei dan 5 Julai 2025.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga disebat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTK) 2017 yang boleh dihukum di bawah akta sama.
Tertuduh juga dituduh mengikut Seksyen 15 (a) (i) akta sama kerana melakukan amang seksual bukan fizikal dengan cara menunjukkan kemaluan kepada mangsa sama di dapur rumah pada tarikh sama.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ali Hussain mencadangkan jaminan berjumlah RM20,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melapor diri di balai polis berhampiran sekali sebulan setiap minggu pertama dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan termasuk mangsa.
Peguam Mohd. Anif Rafih merayu jaminan berjumlah RM12,000 dengan alasan tertuduh yang juga seorang duda bekerja sebagai pembantu pemasaran dalam talian produk kosmetik dan memperoleh RM2,000 sebulan.
Katannya, tertuduh turut menanggung kedua-dua mangsa dan seorang anak kandungnya berusia dua tahun yang kini dijaganya ibu tertuduh di Pendang, Kedah.
Mahkamah membenarkan ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dipohon pendakwaan dan menetapkan 25 Ogos ini untuk sebutan semula kes. – UTUSAN










