PETALING JAYA: Skuad Harimau Malaya Bawah 16 tahun (B-16) akan diperkuatkan pemain muda Queen Park Rangers (QPR) FC, Reyes Shaqeel Emir Gnanalingam yang dipanggil menyertai kem latihan pusat pasukan itu.
Kehadiran Reyes menjadikan dia antara empat pemain berpangkalan di luar negara yang dipanggil pengendali, Javier Jorda Ribera untuk menyertai kem latihan pusat itu bagi persiapan menghadapi Kelayakan Piala Asia Bawah 17 tahun (B-17) 2026, yang akan berlangsung dari 22 hingga 30 November ini.
Kesemua pemain dijadualkan melapor diri ke kem latihan pusat di Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Gambang bermula semalam hingga esok.
Selain Reyes, tiga lagi pemain luar negara yang turut menyertai kem ini ialah Kim Johan Nyo Tegnander yang beraksi bersama Fotballklubben Jerv di Norway, Mirza Arif Ewan Saufi dari Akademi Bola Sepak BISP Cruzeiro di Thailand serta Keith Chan Hong Tao dari kelab Sepanyol, Club de Futbol San Jose.
Dalam senarai kali ini, Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) terus menjadi lubuk utama bakat muda negara dengan menyumbang 11 pemain, diikuti SMK Taman Desa Skudai yang menyumbang tiga pemain.
Skuad B-16 negara mempunyai sejarah tersendiri dalam kejohanan Piala Asia B-17 dengan enam penyertaan setakat ini.
Kali terakhir Malaysia layak ke pusingan akhir adalah pada edisi 2023 di Thailand.
Pencapaian terbaik skuad muda negara adalah pada tahun 2014, juga di Thailand, apabila berjaya mara ke suku akhir sebelum tewas tipis 1-2 kepada Australia.
Kem latihan ini dijangka menjadi platform penting buat Ribera dalam membentuk pasukan mantap yang mampu mengembalikan kegemilangan bola sepak remaja negara di pentas Asia.