ROM: Dunia berbasikal digemparkan dengan pemergian pelumba remaja Itali, Samuele Privitera yang maut ketika menyertai perlumbaan Tour of the Aoste Valley-Mont Blanc, hari ini.
Privitera, 19, dari pasukan Hagens Berman Jayco, terlibat dalam kemalangan di laluan menuruni bukit di Pontey, 32 kilometer sebelum garisan penamat peringkat pertama.
Persekutuan Berbasikal Itali (FCI) memaklumkan, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan namun difahamkan mangsa hilang kawalan selepas melanggar bonggol jalan.
“Privitera kelihatan terlanggar bonggol laju sebelum terjatuh dan mengalami kecederaan parah.
“Dia diberi rawatan segera oleh pasukan perubatan perlumbaan sebelum dihantar ke Hospital Parini di Aosta, namun disahkan meninggal dunia,” kata FCI dalam kenyataan rasmi, hari ini.
Insiden itu menyebabkan peringkat kedua perlumbaan dibatalkan sebagai tanda penghormatan kepada mendiang pelumba muda itu.
Perlumbaan dijadual bersambung esok membabitkan laluan dari Pre Saint Didier ke Col du Gran San Bernardo, dengan permulaan secara neutral.
Insiden ini mengimbau kembali tragedi tahun lalu apabila pelumba Norway, Andre Drege maut di Tour of Austria, manakala Gino Mader dari Switzerland terkorban di Tour of Switzerland 2023. – AGENSI