Peluang Pearly-Thinaah 'jinakkan' Matsuyama-Shida

Peluang Pearly-Thinaah ‘jinakkan’ Matsuyama-Shida di separuh akhir Terbuka Jepun

PEARLY Tan-M. Thinaah menewaskan gandingan Korea Selatan, Jeong Na Eun-Lee Yeon Woo 21-15, 21-19 pada aksi suku akhir Terbuka Jepun di Gimnasium Metropolitan Tokyo, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah akan berdepan ujian paling getir apabila turun menentang pasangan kebal tuan rumah, Nami Matsuyama-Chiharu Shida dalam separuh akhir Terbuka Jepun, esok.

Pearly-Thinaah terlebih dahulu mengesahkan kemaraan ke kelompok empat terbaik selepas menundukkan gandingan Korea Selatan, Jeong Na Eun-Lee Yeon Woo 21-15, 21-19 dalam masa 55 minit pada aksi suku akhir di Gimnasium Metropolitan Tokyo, sebentar tadi.

Kemenangan itu menyaksikan mereka mengulangi skrip kejayaan ke atas lawan ranking ke-69 dunia itu pada perlawanan akhir Terbuka Thailand, Mei lalu.

Matsuyama-Shida pula bermandi peluh melangkah ke separuh akhir apabila menewaskan pasangan Korea Selatan, Kim Hye Jeong-Kong Hee Yong 19-21, 21-19, 21-18 dalam masa 86 minit pada perlawanan pagi tadi.

Pertemuan separuh akhir esok bakal menjadi pertembungan ke-15 antara kedua-dua gandingan, dengan Pearly-Thinaah hanya menang sekali menentang pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu.

Bagaimanapun, prestasi semasa memihak beregu No. 3 dunia itu yang kini sedang berada dalam momentum terbaik selepas menjuarai Terbuka Thailand dan muncul finalis di Indonesia Masters serta Terbuka Indonesia, musim ini.

Aksi esok juga mungkin menjadi peluang terakhir untuk Pearly-Thinaah menamatkan ‘badi’ ke atas pasangan No. 2 dunia itu yang sah berpisah selepas Kejohanan Dunia di Paris hujung Ogos ini.

Semangat Pearly-Thinaah turut diperkukuh selepas isu kontrak bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) diselesaikan dengan sah kekal hingga Sukan Olimpik Los Angeles (LA) 2028 pada 10 Julai lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN