Peluang keemasan belia sertai pelbagai aktiviti sukarela

Peluang keemasan belia sertai pelbagai aktiviti sukarela

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bermula 1 Januari 2026, Malaysia akan melaksanakan had umur baharu bagi takrifan belia, iaitu dari 15 hingga bawah 30 tahun, sejajar dengan ketetapan Dasar Belia Malaysia yang diperbaharui. Langkah ini bukan sekadar perubahan polisi, malah membuka ruang dan peluang besar buat generasi muda, khususnya pelajar-pelajar sekolah menengah, untuk lebih awal terlibat dalam usaha pembangunan negara melalui aktiviti kesukarelawanan yang membina jati diri dan semangat patriotisme.

Kesukarelawanan ialah medan terbaik untuk mencambah bakat, menanam nilai kemanusiaan dan memupuk jiwa prihatin dalam kalangan remaja.

Ketika ramai pelajar lebih tertumpu kepada pencapaian akademik, keterlibatan dalam aktiviti kemasyarakatan mampu menjadi nilai tambah yang memperkaya pengalaman hidup.

Dengan pelaksanaan had umur baharu ini, para pelajar sekolah menengah kini boleh menganggap diri mereka sebagai sebahagian daripada kelompok belia yang sah di sisi dasar negara, dan wajar memainkan peranan lebih aktif.

Dalam dunia yang serba mencabar hari ini, anak muda mudah terdedah kepada pengaruh negatif, terutama di ruang maya. Justeru, penglibatan dalam kerja sukarelawan seperti bantuan mangsa bencana, program kebersihan, kelas bimbingan komuniti atau khidmat warga emas dapat menyalurkan tenaga muda ke arah yang positif dan bermakna. Aktiviti ini bukan sahaja membina karakter, tetapi juga menyemai nilai kasih sayang dan tanggungjawab sosial yang sangat penting bagi pembentukan sahsiah unggul.

Pihak sekolah dan komuniti harus berperanan menyediakan platform yang kondusif untuk pelajar mengasah bakat kesukarelawanan mereka. Penubuhan pasukan sukarelawan pelajar, kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), serta sokongan ibu bapa dalam menyemarakkan semangat berbakti adalah elemen penting yang akan mempercepatkan pembentukan generasi belia yang prihatin dan dinamik.

Selain mendidik jiwa, penglibatan awal dalam kesukarelawanan memberi impak positif kepada pembangunan akademik dan masa depan pelajar.

Dalam dunia kerjaya yang semakin kompetitif, pengalaman kesukarelawanan sering menjadi ukuran penting dalam penilaian kepimpinan, kemahiran komunikasi dan kecekapan mengurus.

Penurunan had umur belia itu seharusnya disambut dengan semangat keterbukaan oleh golongan remaja. –UTUSAN

 

Mohd Tarmizi A. Razak aktivis dan pemerhati pendidikan.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO0 individu dan persatuan dipelawa menghantar komentar berkaitan isu pendidikanm dalam ruangan ini dengan menghantar pandangan anda ke [email protected]

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN