PETALING JAYA: Sekali lagi, wakil negara yang akan bertanding dalam Pertandingan EY Young Tax Professional of the Year (EY YTPY) peringkat antarabangsa pada tahun hadapan adalah daripada Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TAR UMT).
Ooi Wei Xuen, seorang graduan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dan Kewangan (Kepujian) di TAR UMT Cawangan Pulau Pinang, telah dinobatkan sebagai juara kebangsaan pertandingan EY YTPY 2025 Malaysia, setelah bersaing dengan tujuh finalis cemerlang lain.
Beliau merupakan juara kebangsaan kelima dari TAR UMT yang akan mewakili negara di peringkat antarabangsa pertandingan tersebut.
“Pencapaian senior-senior saya banyak memberi inspirasi kepada saya untuk membuat persediaan rapi dan berusaha mencapai tahap kecemerlangan yang sama.
“Memenangi anugerah tahun ini amat menggembirakan, kerana saya bangga dapat menyumbang kepada legasi kejayaan TAR UMT dalam sejarah pertandingan ini.
:Untuk ini, saya amat berterima kasih kepada pensyarah-pensyarah saya, Suzzanne Poh Shuh Chen, Goh Keat Siew, dan Michael Yeo Thiam Swee, atas sokongan, kepercayaan, dan keyakinan mereka yang tidak berbelah bahagi
kepada saya.
“Bimbingan mereka, baik dari segi mental mahupun teknikal, telah memainkan peranan penting dalam membentuk keyakinan dan prestasi saya sepanjang pertandingan ini,” kata Wei Xuen.
Kenyataan Wei Xuen menyoroti penekanan TAR UMT terhadap aplikasi dunia sebenar, bimbingan pelajar, dan inspirasi rakan sebaya.
Falsafah pendidikan Universiti tersebut, di mana senior memberi inspirasi kepada junior, dan pendidik secara aktif memupuk pelajar yang berpotensi, membolehkan mereka melangkaui pengetahuan buku teks untuk berjaya dalam arena yang kompetitif dan praktikal.
Mengenai pengalaman pertandingan, Wei Xuen berkongsi, “Pembentangan di hadapan Rakan Kongsi Cukai EY, dan Pengarah dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) adalah pengalaman yang sengit, memuaskan, dan benar-benar tidak dapat dilupakan.
“Ia mendorong saya untuk bangkit menghadapi cabaran dan memberi saya peluang untuk berinteraksi dengan profesional terkemuka dalam bidang tersebut.
“Walaupun ketika dinilai oleh tokoh-tokoh yang dihormati itu mendebarkan, ia juga meningkatkan keyakinan saya kerana ia menunjukkan bahawa pengetahuan dan kemahiran saya adalah setaraf industri”.
“Setelah pertandingan berakhir, beberapa profesional EY memberikan maklum balas positif tentang prestasi saya dan beberapa jawapan yang saya berikan semasa sesi soal jawab.
“Seorang rakan kongsi cukai EY berkongsi kekagumannya mendengar jawapan yang begitu mendalam daripada seseorang yang tidak memiliki pengalaman bekerja.
“Maklumbalas tersebut amat menggalakkan dan saya berasa rendah diri. Ia juga menggalakkan saya untuk mengukuhkan minat saya terhadap cukai dan komitmen saya untuk berkembang dalam bidang ini,” katanya.
Selain membuat persediaan untuk peringkat antarabangsa EY YTPY tahun hadapan, Wei Xuen juga sedang bersiap untuk peperiksaan Chartered Institute of Management Accountants (CIMA) dan telah mendaftar dalam Program CIMA A-Star yang ditawarkan di TAR UMT.
Bersemangat dan berpandangan jauh, beliau berazam untuk terus mengembangkan dirinya, baik secara profesional mahupun peribadi, dengan visi jangka panjang untuk membina kerjaya yang berjaya dalam bidang
kewangan, perundingan, atau perkhidmatan nasihat. – UTUSAN