KETERUJAAN jelas terpancar pada wajah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Aziz, Alor Setar, apabila berita mengenai sekolah mereka tersiar dalam akhbar arus perdana, Utusan Malaysia menerusi sisipan Utusan Pelajar, baru-baru ini.
Pelajar Tingkatan 2, Muhammad Fawwaz Azrilhezri berkata, dia tidak menyangka gambarnya bersama rakan-rakan ketika menyertai Program Bulan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan
Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) turut disiarkan dalam akhbar berkenaan.
“Saya sertai aktiviti sekolah untuk dapatkan sijil, tetapi tidak sangka gambar saya masuk surat khabar. Memang rasa bangga sangat,” katanya.
Seorang lagi pelajar, Ng Genly, 14, berkata, sebaik sahaja mengetahui berita mengenai sekolah mereka tersiar, dia terus ke sudut bacaan sekolah untuk mencari dan membaca sendiri laporan berkenaan.
“Satu Malaysia dapat baca berita tentang sekolah saya. Memang sangat membanggakan. Secara tidak langsung, ia membuatkan kami lebih bersemangat untuk sertai lebih banyak aktiviti selepas ini,” katanya. – UTUSAN