KUANTAN: Pelajar Politeknik Sultan Ahmad Shah (Polisas), Siti Khadijah Nur Syahadah Mohd Farid, 20, pelajar semester empat program Diploma Seni Bina, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) berjaya meraih tempat kedua dalam International Youth Talk sempena China-ASEAN “Future Architect” Summer Camp, baru-baru ini.
“Program ini adalah platform terbaik yang menghimpunkan pelajar-pelajar bidang seni bina untuk bertukar-tukar pandangan serta mempelajari keindahan senibina dan kebudayaan China,” kongsi Siti Khadijah Nur Syahadah tentang kejayaannya itu.
Program itu merupakan antara pengisian 2025 China-ASEAN Education Cooperation Week (CAECW 2025) yang berlangsung di Guiyang, China bermula pada 22 sehingga 28 Julai 2025. Program ini merupakan anjuran bersama Southeast Asian Ministers of Education Organization Regional Center for Technical Education Development (SEAMEO TED) dan Guizhou Polytechnic of Construction, China, dengan kerjasama Go Study Global Education (Go-Study).
China-ASEAN “Future Architect” Summer Camp ini menghimpunkan 21 pelajar dari negara-negara ASEAN termasuk Malaysia, Kemboja, Indonesia, Vietnam, Thailand, Myanmar, Brunei, Filipina dan Laos bagi meneroka keindahan seni bina China serta memupuk pemahaman rentas budaya.
Sepanjang kem ini berlangsung, para pelajar telah dibawa melawat mercu tanda terkenal seperti Bandar Purba Qingyan, sambil menghayati keindahan alam semula jadi dan suasana bersejarah di Guiyang.
Selain itu, mereka juga berpeluang meneroka gaya seni bina etnik serta teknologi bangunan hijau terkini melalui lawatan ke pusat latihan vokasional, syarikat pembinaan dan muzium.
Kemuncak aktiviti kem ini ialah International Youth Roundtable Meeting, di mana para peserta berpeluang berdiskusi secara mendalam mengenai isu-isu penting seperti kelestarian, pemeliharaan warisan budaya, serta peranan belia dalam mencorak masa depan seni bina inovatif.
Penyertaan dalam program antarabangsa ini bukan sahaja membuka minda pelajar kepada perspektif global, malah memperkayakan pengetahuan akademik dan budaya mereka.
Pengalaman ini juga turut membina jalinan persahabatan serantau yang bakal menjadi aset penting dalam perkembangan peribadi dan kerjaya mereka dalam bidang seni bina khususnya.
Sempena CAECW 2025 ini juga, Timbalan Pengarah (Akademik) Polisas, Wan Zuraida Wan Yusoff turut diberikan peluang sebagai Keynote Speaker di Persidangan Jointly Building a New Ecosystem for China-ASEAN Vocational
Education Development yang berlangsung pada 27 Julai 2025.
Beliau telah menyampaikan ucaptama bertajuk Educational Digitalisation as a Catalyst for Transformation in Malaysia’s Polytechnic TVET System and National Education Reform. – UTUSAN