PETALING JAYA: Beregu wanita No. 1 Malaysia, Pearly Tan-M. Thinaah mara ke pusingan kedua selepas menundukkan rakan senegara, Ong Xin Yi-Carmen Ting pada peringkat 32 terbaik Kejohanan Badminton Terbuka China di Jiangsu, China, hari ini.
Pearly-Thinaah yang menghuni ranking No. 3 dunia tidak berdepan masalah mengetepikan beregu remaja Malaysia itu menerusi kemenangan straight set 21-8, 21-12 dalam masa 24 minit di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik.
Pada peringkat 16 terbaik, Pearly-Thinaah yang bakal melonjak ke ranking No. 2 dunia, minggu depan akan menentang beregu Jepun, Rui Hirokami-Sayaka Hobara.
Sementara itu, turut mengikut jejak langkah Pearly-Thinaah ke pusingan seterusnya ialah satu lagi beregu wanita negara, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing.
Beregu No. 22 dunia itu menewaskan wakil Poland, Paulina Hankiewicz-Kornelia Marczak 21-5, 21-6 dalam masa 22 minit.
Bagaimanapun, Pei Kee-Mei Xing bakal mengharungi ujian getir bertemu gandingan No. 8 dunia, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi dari Jepun di pusingan kedua. – UTUSAN