PETALING JAYA: Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah mara ke separuh akhir Terbuka China dengan penuh bergaya selepas menewaskan pasangan Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto dalam aksi suku akhir, sebentar tadi.
Gandingan pilihan ketiga kejohanan itu hanya mengambil masa 39 minit untuk mencatat kemenangan meyakinkan 21-16, 21-12 di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik, Changzhou itu.
Tanpa perlu berhempas pulas, Pearly-Thinaah nyata berada di kelas tersendiri apabila langsung tidak memberi ruang kepada pasangan pilihan kelapan dari Jepun itu untuk bangkit.
Kemenangan ini menjadikan mereka wakil Malaysia pertama ke separuh akhir selepas beregu campuran utama, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan rakan beregu, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing tersingkir lebih awal.
Ini juga merupakan separuh akhir ketiga berturut-turut buat Pearly-Thinaah selepas kejayaan mara ke pentas final Terbuka Indonesia dan Jepun, sebelum ini.
Pearly-Thinaah dijadual menentang pilihan tuan rumah, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian dalam perebutan tempat ke final, esok.
Gandingan China itu sebelum ini mengetepikan cabaran Pei Kee-Mei Xing dalam satu lagi aksi suku akhir tengah hari tadi. – UTUSAN