PETALING JAYA: Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah menggegar dunia badminton apabila mendaki ke ranking No. 2 dunia hari ini sekali gus kedudukan tertinggi sejak 2009.
Kejayaan luar biasa itu menjadikan mereka beregu wanita Malaysia pertama mencapai kedudukan setinggi itu sejak era kegemilangan pasangan legenda, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui.
Rentetan prestasi cemerlang mereka sejak tahun lalu menyaksikan Pearly-Thinaah terus menulis sejarah baharu buat badminton negara.
Antara pencapaian paling gemilang termasuk memenangi Terbuka Perancis 2022 dan mara ke separuh akhir Sukan Olimpik Paris 2024.
Tahun 2025 pula menyaksikan mereka menjuarai Terbuka Thailand selain melangkah ke empat separuh akhir Jelajah Dunia termasuk di Terbuka Indonesia dan China, baru-baru ini.
Populariti dan konsistensi mereka turut dihargai apabila difahamkan menerima kontrak bernilai RM1 juta setahun selama empat tahun bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sehingga berakhir Sukan Olimpik Los Angeles 2028 sekali gus kontrak terbesar buat pemain wanita negara setakat ini.
Namun di sebalik sorotan dan kemewahan, sasaran utama mereka kini ialah meraih pingat pertama dalam sejarah badminton wanita Malaysia di Kejohanan Dunia yang berlangsung di Paris, Perancis pada 25 Ogos hingga 1 September ini. – UTUSAN