SINGAPURA: Arsenal meraih kemenangan dramatik 3-2 ke atas Newcastle hasil jaringan penalti Martin Odegaard pada minit ke-84 dalam aksi persahabatan pramusim yang penuh aksi mendebarkan, hari ini.
Perlawanan di hadapan lebih 38,700 penonton itu turut menyaksikan bintang baharu, Viktor Gyokeres dari Sweden diperkenalkan secara rasmi selepas menandatangani kontrak sehari sebelum perlawanan.
Gyokeres tidak diturunkan dalam aksi panas itu dan dijangka membuat penampilan sulung menentang Tottenham di Hong Kong, Khamis ini.
“Kami sangat gembira Viktor kini bersama kami. Ia satu perjalanan panjang untuk dapatkan dia,” kata bos Arsenal, Mikel Arteta.
Newcastle terlebih dahulu di depan seawal minit keenam menerusi ledakan Anthony Elanga yang menyambar hantaran Sandro Tonali ke penjuru bawah gawang.
Namun Arsenal bangkit dengan pantas apabila Mikel Merino menyamakan kedudukan pada minit ke-33 hasil flick bijak Kai Havertz, sebelum gol sendiri Alex Murphy meletakkan Gunners di depan dua minit kemudian.
Selepas rehat, Newcastle kembali menyamakan kedudukan menerusi rembatan luar kotak oleh Jacob Murphy, tetapi insiden Max Dowman yang dijatuhkan Joelinton menghadiahkan penalti buat Arsenal.
Odegaard menyempurnakan sepakan dengan tenang bagi memastikan kemenangan kedua Arsenal di Singapura selepas menundukkan AC Milan 1-0 sebelum ini. – AGENSI