Kelebihan penulis Nazim Mohd. Subari ialah lima kumpulan puisi daripada 17 kumpulan puisinya yang telah terbit adalah puisi berbentuk gurindam.
Kemahiran Nazim menulis gurindam amat menyerlah dengan lima buku gurindamnya iaitu Gurindam Warisan Ibunda (Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), 2015), Gurindam Bingkisan Hati (Institut Terjemahan & Buku Malaysia, 2016), Gurindam Wangian Padi (Pena Padu, 2020), Gurindam Bunga Bangsa (DBP, 2022) dan terkini Gurindam Sumbangsih Kasih (GSK) (MZ Edu Publications, 2025).
Gurindam yang baik dan bermutu mengandungi nasihat, pengajaran dan falsafah hidup. Menurut Pendeta Za’ba (Tan Sri Dr. Zainal Abidin Ahmad), gurindam adalah suatu jenis syair yang melarat yang suku katanya tidak tetap, terkandung fikiran yang bernas dengan suku sebagai nyanyian dan pengolahan bahasa yang riang.

Tokoh gurindam yang dikenali ialah Raja Haji Ali (Raja Ali Haji Raja Haji Ahmad) dengan Gurindam Dua Belas. Beliau seorang ulama, ahli sejarah dan pujangga Melayu-Bugis.
Amat jelas dalam buku GSK kesemua gurindam yang dikarang Nazim menepati ciri-ciri gurindam. Menurut catatan Prakata, Nazim menyatakan kesemua gurindam dihasilkan dalam pelbagai tema yang berkait rapat dengan
kehidupan masyarakat. Termasuklah pemupukan sikap dan pembinaan jati diri remaja, kekeluargaan, keagamaan, menghargai warisan bangsa dan semangat patriotik.
Seiring Falsafah Pendidikan Kebangsaan, GSK mampu berperanan melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia dan bertanggungjawab.
Di samping 92 buah gurindam yang menarik dibaca, ilustrasi berwarna yang menghiasi setiap gurindam sangat cantik lukisannya. Melihat gaya lukisan, amat ketara lukisan dihasilkan menggunakan teknologi AI.
Menurut catatan penulis Nazim lagi, buku GSK mampu meningkatkan daya pemikiran dan mendidik seseorang untuk mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian melalui nasihat dan pesanan yang disampaikan.
Ini bertepatan dengan kepimpinan Kerajaan Madani yang bertekad menangani gejala rasuah dan salah guna kuasa. Penulis Nazim turut menulis sebuah gurindam tentang rasuah. Diperturunkan sepenuhnya gurindam tersebut.
Gurindam Antirasuah
Rasuah dilapor dengan segera,
dapat penguasa gerakkan jentera.
Rasuah dibasmi ke akar umbi,
tiada siapa mampu melobi.
Rasuah disiasat dicari bukti,
pasti pesalah tak senang hati.
Rasuah dicegah dengan didikan,
benci jenayah dapat diterapkan.
Rasuah dibendung puncanya disekat,
supaya kesnya tidak meningkat.
Rasuah didedah maklumat tepat,
unsur pengajaran rakyat dapat.
Rasuah dibanteras dengan sepadu,
segala gejala dapat dihidu.
Rasuah diperangi habis-habisan,
tentu usaha membawa kesan.
Rasuah ditolak sebarang bentuk,
barulah terhindar jenayah terkutuk.
Rasuah ditangani tak pilih kroni,
terbina maruah bangsa madani.
Apabila diamati kesemua tajuk gurindam dalam buku GSK, tema yang diangkat menepati konsep Malaysia Madani yang menekankan kepada enam nilai teras iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.
Sebagai contoh, gurindam bertajuk Gurindam Panduan Untuk Berjaya memaparkan nilai kemampanan, Gurindam Sayangi Negara memaparkan nilai kesejahteraan, Gurindam Panduan Untuk Berjaya memaparkan nilai daya cipta, Gurindam Sayangi Keluarga memaparkan nilai hormat, Gurindam Nusa memaparkan nilai keyakinan dan Gurindam Jauhi Dengki memaparkan nilai ihsan.
Gurindam Sumbangsih Kasih yang dijadikan tajuk buku ini amat bersesuaian dengan gagasan Malaysia Madani yang menekan nilai kasih sayang dalam kehidupan. Diperturunkan sepenuhnya gurindam tersebut.
Gurindam
Sumbangsih Kasih
Kasih dicurah seikhlas hati,
harap hubungan Allah diberkati.
Kasih disulam tulusnya janji,
rukun bersama walau diuji.
Kasih dibahagi seadil mungkin,
anak yang terima berasa yakin.
Kasih diberi sebaik asuhan,
sejahtera anak di bawah teduhan.
Kasih dizahir dengan belaian,
anak bahagia hargai perhatian.
Kasih dibukti dengan kebaikan,
tandanya jasa tidak dilupakan.
Kasih diikat saling menyayangi,
cantiknya keluarga bagai pelangi.
Kasih dibalas anak budiman,
di hari tuamu ada peneman.
Kasih diabadikan dalam keluarga,
hidup seperti sebuah syurga.
Kesimpulannya buku kumpulan puisi GSK wajar dibaca dan dihayati oleh semua peringkat pembaca apatah lagi kepada individu yang berminat untuk mempelajari dan mengarang gurindam, buku GSK amat sesuai dijadikan rujukan. Secara peribadi, penulis Nazim Mohd. Subari wajar diiktiraf Tokoh Puisi Gurindam Kebangsaan. -UTUSAN










