Murid SK Batu Melintang berpeluh, beradu kekuatan dalam

Murid SK Batu Melintang berpeluh, beradu kekuatan dalam acara olahraga tahunan

MURID SK Batu Melintang bersemangat berbaris penuh bersemangat semasa majlis perasmian Kejohanan Olahraga Tahunan 2025 sekolah berkenaan di Jeli, Kelantan baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Suasana Padang Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Melintang bertukar menjadi medan semangat dan sorakan apabila Kejohanan Olahraga Tahunan 2025 berjaya dilangsungkan dengan penuh meriah.

 

Penganjuran acara tersebut adalah inisiatif Unit Kokurikulum SK Batu Melintang sebagai salah satu usaha menjayakan Pelan Tindakan Tahunan sekolah berasaskan visi dan misi yang menekankan keseimbangan antara akademik dan kokurikulum.

Kejohanan yang berlangsung selama lima hari bermula dari 11 hingga 15 Mei itu melibatkan semua murid dari kelas Arus Perdana, Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), serta murid prasekolah.

Pelbagai acara dipertandingkan seperti lompat jauh, lompat tinggi, dan lontar peluru yang berjaya mencungkil bakat-bakat muda dalam bidang olahraga.

Menurut Penolong Kanan Kokurikulum, Noor Azlina Che Ahmad, penganjuran kali ini bukan sahaja untuk memupuk semangat kesukanan dalam kalangan murid, malah bertujuan mengeratkan hubungan antara guru, murid dan ibu bapa.

“Ia juga menjadi platform untuk membina jati diri dan keyakinan diri dalam kalangan murid melalui aktiviti fizikal yang mencabar dan menyeronokkan,” katanya.

Walaupun cuaca panas membahang, semangat para peserta tidak pernah luntur. Malah, jika dibandingkan dengan tahun lalu yang terpaksa diadakan dalam musim tengkujuh, kejohanan kali ini lebih teratur dan memberi peluang lebih luas kepada semua peserta untuk menyerlahkan potensi masing-masing.

Penyelaras Kejohanan Azrul Zailan Awang berkata, kejohanan kali ini berjaya menyatukan murid daripada pelbagai latar belakang dan kebolehan.

“Melalui aktiviti seperti ini, murid belajar tentang nilai murni seperti kerjasama, hormat-menghormati dan ketabahan menghadapi cabaran,” tambahnya.

Guru Besar SK Batu Melintang, Laila Ismail, yang juga Pengerusi Kejohanan, menyatakan rasa bangga terhadap penganjuran yang begitu lancar dan tersusun. Beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan program ini dan berharap agar ia terus dijadikan aktiviti tahunan utama sekolah.

Keterlibatan murid PPKI dan prasekolah pula membuktikan bahawa kejohanan ini bersifat inklusif dan terbuka kepada semua lapisan murid. Mereka bukan sahaja menyertai acara dengan penuh semangat, bahkan menunjukkan bahawa kekurangan bukan penghalang untuk bersaing dan berjaya.

 

 

 

Salah satu detik yang dinanti-nantikan adalah pengumuman rumah sukan yang muncul sebagai johan keseluruhan. Rumah Merah berjaya mengekalkan rekod cemerlang dengan kutipan mata tertinggi, manakala Rumah Hijau memenangi anugerah khemah tercantik hasil kreativiti dan kerjasama murid serta guru.

Turut memeriahkan acara ialah kehadiran ibu bapa, wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pegawai daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Jeli.

Kehadiran mereka memberi suntikan semangat kepada para peserta, di samping merapatkan lagi hubungan antara pihak sekolah dan komuniti. Perlawanan tarik tali dan larian turut disertai ibu bapa dan guru.

Kejohanan tersebut juga menjadi landasan penting untuk menjayakan dasar 1Murid 1Sukan, yang menekankan penglibatan menyeluruh murid dalam bidang sukan dan kesihatan fizikal.

Melalui penglibatan ini, murid dapat membina kesedaran tentang pentingnya gaya hidup sihat sejak usia muda.

Pelbagai pertandingan dijalankan dengan sistematik oleh jawatankuasa kejohanan yang terdiri daripada guru-guru berpengalaman. Setiap acara dinilai dengan adil dan telus, malah ada murid yang menunjukkan potensi untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi dalam bidang olahraga.

Sambutan hangat daripada semua warga sekolah turut diserikan dengan pelbagai aktiviti sampingan seperti perbarisan kreatif, tarik tali dan larian daripada ibu bapa dan guru. Aktiviti ini menambah nilai kepada kejohanan dari sudut pendidikan dan hiburan.

Selain aspek pertandingan, kejohanan ini juga berjaya membentuk kepimpinan dalam kalangan murid melalui pelantikan sebagai ketua rumah, pengurus pasukan dan pengacara majlis. Murid belajar mengurus tanggungjawab dan berkomunikasi secara berkesan dalam situasi rasmi. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN