MSN nafi isu persiapan tidak rapi, PKBM sudah diberi RM300,000

MSN nafi isu persiapan tidak rapi, PKBM sudah diberi RM300,000

KETUA Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadiri ketika ditemu bual selepas Majlis Anugerah Persatuan Penulis-penulis Sukan (SAM) di sebuah hotel di sini, hari ini. - UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majlis Sukan Negara (MSN) menegaskan bahawa tiada isu kelemahan dalam persiapan pasukan berbasikal lebuh raya negara ke Sukan SEA 2025 memandangkan dana telah pun disalurkan kepada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin berkata, peruntukan sebanyak RM300,000 telah diluluskan dan sebahagiannya sudah pun disalurkan kepada PKBM bagi tujuan persediaan ke temasya dwitahunan itu.

Menurut beliau, sebarang dakwaan kononnya MSN tidak membantu dari sudut keperluan atau persiapan tidak sepatutnya timbul memandangkan tanggungjawab memilih pasukan terletak sepenuhnya di bahu PKBM.

“Untuk makluman, kita dengan PKBM telah pun mengadakan perbincangan pada bengkel penyenaraian atlet ke arah Temasya Sukan SEA pada 16 Januari yang lalu.

“Kedua-dua pihak bersetuju bahawa pasukan negara bagi acara lebuh raya akan dibarisi pelumba profesional. Namun, terpulang kepada PKBM untuk pilih sama ada TSG (Terengganu Cycling Team) atau MPC (Malaysia Pro Cycling) untuk ke temasya nanti,” kata Jefri selepas Majlis Anugerah Persatuan Penulis-penulis Sukan (SAM), di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Jefri berkata PKBM juga ada memohon pembelian basikal, namun jika Terengganu Cycling Team (TSG) dipilih, keperluan tersebut tidak timbul kerana pasukan itu sudah memiliki kelengkapan yang diperlukan.

“Kalau benar ada perancangan baharu atau tuntutan lain, saya seru pihak PKBM datang kembali ke meja perbincangan dan kita boleh teliti apa lagi keperluan mereka ke Sukan SEA nanti,” katanya.

Mengulas kenyataan bahawa kelab mungkin tarik diri jika keperluan tidak dipenuhi, Jefri berkata perkara itu tidak seharusnya berlaku memandangkan sudah ada persefahaman awal antara PKBM dan MSN.

Terdahulu, dalam satu kenyataan hari ini PKBM menegaskan bahawa skuad berbasikal lebuh raya negara tidak akan menarik diri daripada menyertai Sukan SEA 2025 di Korat, Thailand, dan akan mempertahankan pingat dimenangi pada edisi terdahulu.

Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill turut menafikan sebarang masalah dengan MSN dan menyatakan bahawa badan induk itu sentiasa menyokong PKBM termasuk dari sudut kewangan serta logistik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN