Sejak dibangku sekolah lagi, Mohd. Al-Addreen Akhiruddin yang kini warga pendidik Darul Furqan, 40 meminati subjek Matematik. Baginya matematik mampu mendidik seseorang berfikir.
“Ramai beranggapan Matematik sukar dikuasai. Sebenarnya tidak jika kita tahu formulanya. Matematik bukan sekadar nombor tetapi secara tidak langsung melatih diri kita untuk tidak cepat berputus asa,” katanya.
Maka tidak hairanlah Mohd Addreen meneruskan pengajiannya sehingga ke peringkat Sarjana Sains Matematik di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Beliau pernah menabur perkhidmatan selama 10 tahun sebagai pensyarah di beberapa kolej dan universiti.
“Rata rata pelajar saya terdiri daripada pelbagai latar belakang. Saya tidak boleh mengajar mereka seolah-olah sedang memberi arahan. Sambil itu saya mengajak mereka berfikir. Kadang kala pelajar lebih “advance” daripada kita tetapi mereka perlukan bimbingan dari segi nilai dan adab.
Dunia pensyarah tidak semuanya indah atau glamor. Ada banyak tekanan dari segi realiti kerja, akademik, penilaian prestasi pelajar dan audit yang perlu dilalui,” katanya mengimbau kenangan.
Pun begitu Mohd. Al-Addreen menganggapnya fasa yang mendewasakan serta mengajarnya untuk lebih teliti, sabar dan bersistematik dalam setiap perkara yang dilakukan.
“Mana mungkin saya melupakan momen apabila didatangi pelajar seraya berkata, Sir terima kasih. Saya kini lebih faham Matematik,” kongsinya.
Anak jati Hulu Langat, Selangor ini telah mengambil keputusan drastik untuk mencari hala tuju demi pembaharuan dalam transisi kerjayanya. Beliau sanggup melepaskan jawatan dan pendapatan lumayan.
Tahun 2018 , Mohd. Al-Addreen memilih berkhidmat sebagai Guru Penolong Kanan Akademik di Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Darul Furqan yang terletak di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras iaitu sebuah sekolah swasta Islam yang baharu dengan fasiliti kecil dan sederhana pada waktu itu.
Jujur dia mengakui sekolah ini bukan sekadar mendidik tetapi titik permulaan untuk membina generasi muda bermula dari akar umbi.
Benarlah kata orang, rezeki tidak pernah salah alamat. Berkat kesungguhan disusuli prestasi kerja cemerlang dan komitmen yang diberikan, Mohd. Addreen dinaikkan pangkat menggalas tanggungjawab sebagai guru besar mulai 2021.
“Tanggungjawab mudah didengar dan diperkatakan tetapi berat untuk memikulnya.
“Saya perlu menunjukkan contoh teladan terbaik kepada seramai 22 warga pendidik Darul Furqan dan 233 orang murid.
“Mereka ini adalah cerminan diri saya kemudian hari,” ujarnya yang turut merupakan graduan Diploma Pendidikan Guru Sekolah SRITI.
Sebagai individu penting, beliau melakukan beberapa pembaharuan seperti membina budaya kerja yang sihat, menggalakkan para guru memanfaatkan aplikasi teknologi terkini tetapi pada masa yang sama tidak mengabaikan sentuhan kerohanian dan mewujudkan kerjasama berpasukan serta jalinan perhubungan erat antara guru, murid dan ibubapa menerusi kepelbagaian aktiviti dan program sekolah yang dijalankan.
“Selain itu mempraktikkan tunjang asas seperti kehadiran awal, kempen disiplin, amalan solat sunat dhuha dan bacaan Al – Mathurat . Ini bukan sekadar arahan tetapi saya sendiri turun padang,” katanya.
Mohd. Al-Addreen memberitahu, ada perbezaan peranan guru besar dahulu dan kini walaupun masing-masing mempunyai kelebihan.
“Saya memberi contoh guru besar dahulu lebih dekat malahan bersikap kebapaan pada warga sekolah tetapi guru besar sekarang pula lebih profesional dan teknokrat,” ujarnya. – UTUSAN