LOS ANGELES: Lionel Messi dan Jordi Alba menerima tamparan hebat apabila digantung daripada aksi menentang FC Cincinnati hujung minggu ini selepas gagal hadir ke perlawanan All-Star Major League Soccer (MLS), kata liga itu hari ini.
Kedua-dua bintang Inter Miami itu dikeluarkan daripada senarai perlawanan selepas tidak muncul dalam aksi prestij bertemu bintang Liga-MX yang berlangsung Rabu lalu tanpa sebarang alasan rasmi.
Menurut peraturan liga, mana-mana pemain yang tidak menyertai perlawanan All-Star tanpa kebenaran terlebih dahulu daripada pihak liga akan digantung daripada aksi kelab seterusnya.
“Ini keputusan yang sangat sukar. Saya tahu Messi sangat cintakan liga ini dan tiada siapa yang telah memberi lebih banyak sumbangan kepada MLS selain dirinya.
“Saya menghormati komitmennya kepada Inter Miami, dan walaupun saya hormati keputusannya, kami tetap perlu laksanakan dasar sedia ada mengenai kewajipan All-Star,” kata Pesuruhjaya MLS, Don Garber.
Garber turut menyatakan pihak liga akan menilai semula dasar tersebut pada masa depan dengan mengambil kira pandangan para pemain dan kesesuaian jadual.
Messi, yang kini berusia 38 tahun, telah beraksi sembilan perlawanan dalam tempoh 35 hari termasuk empat perlawanan intensif di Piala Dunia Kelab FIFA dan bermain penuh 90 minit setiap kali.
Situasi bertambah rumit apabila jurulatih Inter Miami, Javier Mascherano sebelum ini menyuarakan kebimbangannya dan lebih suka jika kedua-dua pemain itu diberi rehat berbanding dipanggil menyertai aksi All-Star. – AGENSI