PSIMA anggap masalah mental pelajar membimbangkan

Masalah mental pelajar membimbangkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Persatuan Psikologi Malaysia (PSIMA) menyeru semua pihak agar lebih serius menangani stigma terhadap isu kesihatan mental dalam kalangan pelajar selepas insiden tragik yang melibatkan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun didakwa membunuh ibu dan abangnya sendiri.

PISMA berharap kejadian itu harus membuka mata masyarakat tentang kepentingan pengesanan awal tekanan emosi dan kemurungan dalam kalangan pelajar.

Kesihatan mental bukan lagi isu pinggiran. Pelajar hari ini berdepan tekanan akademik, beban harapan ibu bapa, serta kurangnya ruang untuk meluah perasaan.

PSIMA menggariskan antara gejala awal kemurungan dalam kalangan pelajar termasuk:
• Menarik diri daripada keluarga dan rakan
• Gangguan tidur atau selera makan
• Mudah marah atau menangis tanpa sebab
• Keletihan melampau dan kehilangan minat terhadap aktiviti harian
• Prestasi akademik merosot secara mendadak
• Ucapan negatif terhadap diri dan kehidupan

PSIMA mengingatkan bahawa potensi anak-anak tidak seharusnya diukur melalui pencapaian akademik semata-mata.

Pendidikan perlu membina manusia, bukan memusnahkan jiwa. Tekanan yang tidak terkawal boleh membawa kepada kemurungan, bahkan tingkah laku agresif dan membunuh diri.

PSIMA menyeru agar pelajar dilatih menjadi pendengar empati kepada rakan-rakan mereka. Antara langkah sokongan yang boleh dimainkan oleh rakan sebaya:
• Mendengar tanpa menghakimi
• Menggalakkan mendapatkan bantuan profesional
• Menyebarkan kesedaran melalui kempen atau aktiviti sosial
PSIMA berpendapat pendidikan mental perlu diwajibkan dan menggesa agar pendidikan kesihatan mental dimasukkan secara rasmi dalam kurikulum sekolah.
Usaha ini penting untuk:
• Membantu pelajar mengurus tekanan
• Membina empati dalam kalangan pelajar
• Menghapuskan stigma
• Melahirkan generasi yang sihat dari aspek mental, emosi dan sosial

PSIMA ingin berpesan kepada pelajar yang sedang bergelut supaya tidak bersendirian.

Kesihatan mental bukanlah satu kelemahan, dan meminta bantuan bukan kegagalan. Berbicaralah, walau sedikit.

PSIMA menyeru agar semua pihak – ibu bapa, guru, pentadbir sekolah, pembuat dasar, media dan masyarakat – berganding bahu membina persekitaran yang lebih menyokong kesihatan mental pelajar.
Jangan tunggu tragedi berlaku baru kita mahu peduli. Kesihatan mental adalah tanggungjawab bersama.

Prof Madya Dr Shazli Ezzat Ghazali ialah Presiden Persatuan Psikologi Malaysia (PSIMA)

 

Segala komentar, cadangan dan pendapat isu berkaitan sekolah, pendidikan  untuk ruangan ini boleh e-mel ke [email protected]

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN