Maresca puji kejayaan Chelsea julang trofi Piala Dunia Kelab

Maresca puji kejayaan Chelsea julang trofi Piala Dunia Kelab

PENGURUS Chelsea, Enzo Maresca menjulang trofi Piala Dunia Kelab selepas menewaskan Paris Saint Germain dalam aksi final di Amerika Syarikat, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW JERSEY: Jurulatih Chelsea, Enzo Maresca menegaskan kejayaan menjuarai Piala Dunia Kelab sama penting dengan memenangi Liga Juara-Juara selepas pasukannya menewaskan Paris Saint-Germain (PSG) 3-0 dalam aksi final edisi pertama kejohanan baharu FIFA, semalam.

“Saya merasakan bahawa kejohanan ini akan menjadi sepenting malah mungkin lebih penting daripada Liga Juara-Juara,” kata Maresca yang sebelum ini turut membantu Chelsea menjuarai Liga Konferens UEFA, Mei lalu.

Maresca mengambil alih Chelsea setahun yang lalu tetapi sebelum ini pernah menjadi kakitangan kejurulatihan di Manchester City di bawah Pep Guardiola ketika mereka memenangi Liga Juara-Juara pada 2023.

“Saya bertuah pernah menjadi sebahagian daripada pasukan kejurulatihan yang memenangi Liga Juara-Juara beberapa tahun lalu tetapi kejohanan ini menampilkan pasukan-pasukan terbaik di dunia dan saya fikir kita boleh meletakkannya pada tahap yang sama.

“Ia merupakan satu kejayaan besar untuk kami dan ia akan membolehkan penyokong Chelsea melihat lambang kejohanan ini di jersi kami selama empat tahun akan datang, jadi ia adalah satu kebanggaan,” kata jurulatih dari Itali itu.

Maresca berkata dia mengarahkan pemainnya menyerang PSG sejak awal permainan, mereka kemudiannya menjaringkan ketiga-tiga gol pada babak pertama dengan Cole Palmer menjaringkan dua gol sebelum Joao Pedro turut mencatat nama sebagai penjaring.

“Pesanan saya adalah untuk mereka faham bahawa kami ke sini untuk memenangi perlawanan dan saya rasa dalam 10 minit pertama kami telah menunjukkan perkara itu.

“Itu menetapkan rentak permainan dan kemudian kualiti pemain juga memainkan peranan penting,” kata Maresca.

Pemain England, Palmer dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan selepas menjaringkan dua gol dan membuat satu bantuan gol kepada Pedro. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN