LIVERPOOL: Kelab Liga Perdana Inggeris, Liverpool mengambil keputusan untuk meneruskan bayaran baki kontrak bernilai AS$20 juta (RM85 juta) kepada waris mendiang Diogo Jota.
Bintang bola sepak Portugal itu meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya tragis bersama abangnya, André Silva pada 3 Julai lalu, hanya beberapa minggu selepas mendirikan rumah tangga.
Menurut laporan Front Office Sports, jumlah tersebut akan diserahkan kepada balu dan anak-anak Jota sebagai menghormati kontraknya yang masih berbaki.
“Liverpool Football Club amat dukacita dengan pemergian tragis Diogo Jota.
“Kelab tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut dan memohon privasi keluarga Diogo dan André dihormati ketika mereka cuba menerima kehilangan yang tidak terbayang ini.
“Kami akan terus memberikan sokongan penuh kepada mereka,” kata kelab itu dalam kenyataan.
Pengurus Liverpool, Arne Slot turut meluahkan kesedihan mendalam terhadap kehilangan pemain kesayangan kelab itu.
“Apa yang boleh dikatakan pada saat seperti ini apabila kejutan dan kesakitan terlalu perit? Saya tidak punya kata-kata, hanya perasaan yang dikongsi ramai tentang insan yang kami cintai,” katanya. – AGENSI