LIVERPOOL: Skuad Liverpool kembali menjalani latihan semalam dalam suasana penuh emosi selepas kematian tragik penyerang mereka, Diogo Jota dan adiknya, Andre Silva.
Juara Liga Perdana Inggeris itu sebelum ini menangguhkan permulaan latihan pramusim sebagai tanda penghormatan kepada Jota yang maut dalam kemalangan jalan raya di Sepanyol minggu lalu.
Pengurus Arne Slot bersama kapten pasukan, Virgil van Dijk mengetuai delegasi Liverpool ke upacara pengebumian Jota di Gondomar, Portugal pada Sabtu lalu.
Beberapa pemain utama termasuk Mohamed Salah, Andy Robertson, Conor Bradley dan Wataru Endo dilihat tiba di pusat latihan kelab pada sesi pertama itu.
Salah menerusi Instagram meluahkan ketakutan untuk kembali ke Melwood, sukar menerima kenyataan bahawa Jota tidak lagi bersama mereka.
“Rakan sepasukan datang dan pergi, tapi bukan begini caranya,” tulis Salah dalam Instagram beliau.
Tapak penghormatan khas turut didirikan di Stadium Anfield yang kini dipenuhi bunga, jersi dan gambar kenangan yang ditinggalkan penyokong serta bekas pemain.
Perlawanan persahabatan pramusim menentang Preston Ahad ini masih dalam pertimbangan, manakala jelajah Asia akan diteruskan dengan aksi menentang AC Milan dan Yokohama Marinos. – AGENSI