GUA MUSANG: Lebih 5,000 penduduk dan pengguna Jalan Gua Musang-Lojing terpaksa menghidu asap busuk pembakaran sisa sampah secara terbuka di tapak pelupusan sementara di Kampung Kundur sejak lebih dua tahun lalu.
Tinjauan mendapati, masalah itu berpunca daripada tindakan pencari sampah membakar sisa buangan yang dibuang Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) di kawasan berkenaan.
Seorang penduduk, Nasir Majid, 45, berkata, asap yang sentiasa memenuhi kawasan jalan itu mengundang risiko kemalangan termasuk kenderaan berat dan penunggang motosikal kerana kadar penglihatan yang terhad.
“Kepulan asap itu memang setiap hari kita nampak kerana ada pembakaran. Bau busuk sisa sampah juga sangat kuat sehingga penduduk kampung berhampiran berasa tidak selesa untuk melakukan rutin harian sama ada di dalam atau luar rumah.
“Keadaan ini sangat membahayakan kesihatan apabila lalat juga dikatakan semakin banyak di kawasan Kampung Kundur dan isu ini perlu diselesaikan segera bagi mengelak kesan lebih buruk kepada penduduk berhampiran,” katanya ketika ditemui semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, sebelum ini kawasan pelupusan sampah diwartakan di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Renok sebelum dialihkan ke lokasi sementara kerana lokasi asal terlibat dengan projek Lingkaran Tengah Utama (LTU).
“Saya berharap Ahli Parlimen Gua Musang dapat membawa perkara ini ke sidang Dewan Rakyat untuk memohon peruntukan khas bagi kita menyelesaikan isu ini,” ujarnya.
Yang Dipertua MDGM, Mohd. Roshdi Ismail berkata, pihaknya sedang mencari peruntukan dianggarkan lebih RM2 juta bagi membuka kembali tapak pelupusan sampah telah diwartakan di kawasan RKT Kesedar Renok.
Katanya, perancangan jangka masa panjang akan dilakukan termasuk membina kilang pemprosesan sampah.-UTUSAN










