Kisah kehidupan masyarakat dan pelajar yang tinggal di kawasan pinggir bandar Sabah berjaya menawan hati juri untuk menobatkan artikel Utusan Malaysia bertajuk ‘Laporan bersiri liku kehidupan penduduk pinggir bandar Sabah’ sebagai pemenang hadiah utama Anugerah Kewartawanan (Rencana dan Rencana Berita) (Bahasa Melayu) pada malam Anugerah Kewartawanan Kinabalu (KPA) 2025, Ahad lalu.
Artikel yang ditulis oleh wartawan sambilan Utusan Malaysia, Suraidah Roslan itu mengisahkan tentang masalah akses jalan raya yang dihadapi murid dan guru di Kampung (Kg) Buayan, Penampang yang terpaksa berjalan kaki ke sekolah setiap hari dengan meredah laluan tanah merah dan sungai.
Penduduk Kg. Buayan berkongsi kisah tragis mengenai kehilangan anak akibat keadaan jalan yang teruk.
Insiden yang meragut dua nyawa itu berlaku semasa pelajar dan bapa saudaranya dalam perjalanan kembali ke sekolah yang terletak di Pekan Donggongon, selepas tamat cuti persekolahan.
Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Buayan turut berkongsi pengalaman berjalan kali selama empat jam untuk ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Pekan Donggongon bagi menghadiri mesyuarat.
Kg Buayan yang terletak kira-kira 55 kilometer dari Pekan Donggongon itu hanya boleh diakses menggunakan kenderaan pacuan empat roda.
Kesukaran dihadapi penduduk disitu mendorong kerajaan mengambil inisiatif menaik taraf jalan tanah merah di kampung berkenaan kepada jalan berturap.
Proses menaik taraf jalan tanah merah menuju ke kampung berkenaan sedang dilaksanakan. Penantian 60 tahun penduduk kampung ingin menikmati kemudahan jalan raya yang baik bakal berakhir.
Selain itu, Utusan Malaysia turut memenangi Anugerah Kewartawanan Alam Sekitar (Bahasa Melayu) bagi artikel Laporan bersiri mengenai krisis berkaitan air di Sabah akibat kemarau berpanjangan. – UTUSAN