Seramai 18 orang pelajar Kolej Komuniti Sabak Bernam (KKSB) baru-baru ini ditauliahkan Sijil Profesional Building Information Modelling (BIM) daripada CIDB Malaysia dalam satu majlis yang berlangsung penuh bermakna di ibu negara.
Penyerahan sijil tersebut merupakan satu pengiktirafan terhadap keupayaan dan kecekapan pelajar dalam penguasaan teknologi BIM, selaras dengan keperluan industri pembinaan masa kini.
Pelajar-pelajar tersebut sedang mengikuti latihan industri selama setahun melalui pendekatan Work-Based Learning (WBL), iaitu satu pendekatan inovatif yang dijalankan di kolej komuniti untuk memperkasa elemen amali dan praktikal dalam kalangan pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Inisiatif tersebut memberi pendedahan langsung kepada pelajar terhadap dunia sebenar industri pembinaan dan teknologi seni bina.
Majlis turut menyaksikan sesi penyerahan dokumen kerjasama (surat hasrat) kepada empat rakan strategik baharu KKSB, iaitu CIDB E-Construct Services Sdn. Bhd., Avant Aegis Sdn. Bhd., Microcorp Sdn. Bhd. dan 3DTech Parametric Sdn. Bhd.
Majlis disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Bahagian Kerjasama Industri Dan Komuniti (BKIK) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Mornizawati Abdullah.
Dalam ucapan perasmiannya, beliau menyentuh mengenai kepentingan penguasaan teknologi BIM dalam bidang teknologi seni bina.
“Pendidikan BIM amat penting dan kini menjadi antara komponen utama dalam industri seni bina dan pembinaan. Melalui latihan industri dan pendekatan pembelajaran berasaskan kerja (Work- Based Learning) , pelajar diberikan peluang merasai pengalaman sebenar dunia pekerjaan. Mereka kini bersedia untuk menyertai industri, “ ujarnya.
Beliau turut menyuarakan harapan agar kerjasama seumpama itu dapat dikekalkan dan diperkembangkan.
“Kerjasama antara institusi dan industri harus diperkukuhkan bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi. Apabila kita memiliki kemahiran dalam sesuatu bidang, ia bukan sahaja memberi nilai tambah kepada individu, malah menyumbang kepada pertumbuhan keseluruhan ekosistem ekonomi negara,” ujar beliau lagi.
Sementara itu, Pengarah KKSB, Ahmad Arman Nor Anuar dalam ucapan merakamkan penghargaan kepada Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri atas kepercayaan yang diberikan kepada KKSB dalam menjayakan kursus tersebut. Beliau turut menyatakan komitmen KKSB untuk terus memperkukuh kerjasama dengan industri dalam mempertingkatkan kualiti graduan TVET.
Beliau turut mengingatkan pelajar kepada aspek sahsiah dan nilai profesionalisme.
“Saya ingin tekankan kepada para pelajar supaya tidak melupakan adab. Tanpa adab, anda tidak laku dalam industri. Adab dan integriti adalah asas kepada kejayaan dalam kerjaya, selain daripada kemahiran teknikal,” ujarnya.
Majlis tersebut menjadi bukti kejayaan pendekatan pendidikan TVET berteraskan kerjasama strategik, serta memperkukuh peranan Kolej Komuniti sebagai pemangkin pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam sektor pembinaan dan teknologi negara. – UTUSAN










