PETALING JAYA: Lebuhraya Kuala Lumpur–Karak (KL-Karak) arah Kuantan akan dilencongkan laluan bermula 8 Julai hingga 31 Ogos ini susulan kerja-kerja pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Lebuhraya Pantai Timur (LPT) berkata, lencongan itu melibatkan laluan di KM 25.75 – KM 26.39 arah Kuantan (Gombak – Genting Sempah) bermula 8 Julai sehingga 31 Ogos 2025.
“Sepanjang tempoh ini, laluan trafik akan dilencongkan di lokasi terlibat. Pengguna masih boleh meneruskan perjalanan melalui laluan alternatif yang disediakan,”katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) juga memaklumkan pengaktifan laluan kontra dilakukan di lokasi berkenaan bagi mengurangkan kesesakan.
“Susulan terdapat kerja-kerja pembinaan laluan ECRL. Laluan kontra dari KM 25.6 hingga KM 26.4 arah Timur dari Gombak ke Genting Sempah diaktifkan bermula 8 Julai 2025 hingga 31 Ogos 2025,” katanya. – UTUSAN