Kuartet 4x100m tamat final WUG di tempat tercorot

Kuartet 4x100m tamat final WUG di tempat tercorot

MUHAMMAD Azeem Fahmi bersama kuartet 4x100 meter (m) negara menamatkan larian akhir di tempat kelapan di Sukan Universiti Dunia (WUG) Rhine-Ruhr 2025, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kuartet 4×100 meter lelaki negara menamatkan kempen Sukan Universiti Dunia (WUG) Rhine-Ruhr 2025 di tempat tercorot selepas hanya mencatat masa 40.19 saat (s) dalam perlumbaan akhir, hari ini.

Aksi yang berlangsung di Stadium Bochum itu menyaksikan mereka gagal menandingi rentak semasa saringan apabila mencatat 39.83s, yang merupakan larian terbaik musim ini.

Gandingan Muhammad Azeem Mohd Fahmi, Pengiran Aidil Auf Hajam, Mohammad Thaqif Mohammad Hisham dan Aliff Iman Mohd Fahimi tidak mampu mencabar kelompok hadapan sejak permulaan.

Gelaran juara milik Korea Selatan yang tampil dengan larian mantap menerusi Seo Minju, Nwamadi Joeljin, Lee Jaeseon dan Kim Jeongyun dengan masa 38.50s.

Afrika Selatan di tempat kedua (38.80s) manakala gangsa menjadi milik India yang mencatat 38.89s, sekali gus menafikan dominasi pasukan Eropah.

Sebagai perbandingan, catatan kuartet Malaysia dalam final hari ini hampir 0.4s lebih perlahan berbanding saringan awal pagi tadi.

Sementara itu, skuad wanita 4x400m negara turut menamatkan saingan di kedudukan ketujuh selepas merekodkan 3:54.88s dalam aksi final.

Pasukan yang dibarisi Mandy Goh Li, Nurul Aliah Maisarah Nor Azmi, Chelsea Cassiopea Evali Bopulas dan Hizillawanty Jamain gagal memberi saingan berkesan kepada pencabar utama.

Pingat emas diraih kuartet Jerman dengan masa 3:29.68s, diikuti Poland (3:30.21s) dan Kanada (3:34.16s) di tempat ketiga.

Dalam acara lompat kijang wanita, Nurul Ashikin Abas menamatkan saingan di tempat tercorot selepas hanya mencatat lompatan sejauh 12.70 meter. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN