KUALA LUMPUR: Malaysia tidak mahu hanya gah di gelanggang sendiri tetapi tenggelam di pentas antarabangsa, sebaliknya bertekad mengembalikan semula imej negara sebagai sebuah negara makmur yang berbudaya tinggi dan berpaksikan nilai serta sejarah tempatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha tersebut perlu dilakukan bersama agar Malaysia bukan sahaja dihormati dalam negara tetapi juga dihargai dan disegani di peringkat global.
“Kita tidak mahu sekadar menjadi jaguh kampung yang hebat di gelanggang sendiri tetapi tenggelam di pentas dunia. Justeru, kita perlu sama-sama mengangkat semula imej Malaysia sebagai negara makmur yang kaya dengan keunikan budaya dan berpaut kuat pada akar nilai tempatan dan sejarahnya,” katanya semasa membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat hari ini.
Katanya, hubungan baik dengan semua negara akan terus dieratkan, selain komitmen Malaysia dalam menerajui pelbagai inisiatif di peringkat ASEAN akan diperkukuh.
“Penglibatan aktif negara dengan APEC, BRICS dan negara-negara selatan-selatan turut diperkasa demi mencerminkan hasrat dan tekad kita untuk memperjuangkan orde dunia yang lebih adil,” katanya.
Menurut Perdana Menteri, Malaysia juga bersedia menjadi jambatan dan suara dunia membangun di peringkat global terutama dalam isu-isu pembaharuan institusi kewangan antarabangsa, perdagangan yang lebih saksama, keadilan iklim, pemindahan teknologi serta pembinaan kapasiti negara membangun. – UTUSAN










