Spa, BELGIUM: Juara Formula Satu (F1) 1996, Damon Hill percaya prestasi Ferrari di Grand Prix (GP) Belgium semakin meningkat selepas pasukan itu menaiktaraf jentera mereka.
Ferrari memperkenalkan sistem suspensi belakang untuk perlumbaan di Spa-Francorchamps sekali gus pemandunya, Charles Leclerc meraih podium kelimanya musim ini menewaskan Max Verstappen untuk tempat ketiga, Ahad lalu.
Itu merupakan satu kejutan yang dicipta kerana Leclerc sebelum itu ketinggalan jauh di belakang tiga pendahulu dalam perlumbaan pecut.
“Saya rasa begitu. Saya rasa ia sesuatu yang menggalakkan. Mereka telah membuat beberapa perubahan yang Lewis (Hamilton) nampaknya tidak rasa memberi apa-apa perbezaan. Mereka telah lakukan sesuatu pada suspensi belakang.
“Jelas Ferrari kelihatan sedikit lebih baik. Fakta bahawa ia layak di tempat ketiga dan lebih hampir dengan McLaren berbanding sebelum ini sepatutnya memberi harapan kepada mereka tetapi ia tetap kereta yang sukar. Anda boleh nampak. Mereka (pemandu) tidak selesa.
“Kalau bertaruh, pasti ramai yakin Max akan berjaya memintas tapi Leclerc buat kerja yang hebat dengan Ferrari itu. Dia boleh guna kereta itu untuk kekal di hadapan Max,” kata Hill.
Namun, nasib tidak menyebelahi seorang lagi pemandu Ferrari, Hamilton yang melalui minggu sukar selepas juara dunia tujuh kali itu gagal melepasi kelayakan dalam kedua-dua sesi.
Pertukaran tayar tepat pada masanya kepada tayar pertengahan membolehkan Hamilton menamatkan perlumbaan GP Belgium di tempat ketujuh. – AGENSI