GEORGE TOWN: Keluarga kepada dua beranak yang dijumpai telah meninggal dunia di sebuah pangsapuri di Jalan Bukit Gambir di sini mengakui masih terkejut dengan berita kematian itu.
Adik kepada mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Noor berkata, dia menerima makluman mengenai kejadian yang menimpa kakaknya itu daripada pihak polis, semalam.
“Kami masih terkejut dengan kejadian ini. Kami juga masih menunggu hasil bedah siasat untuk mengetahui punca sebenar kematian.
“Kami pun tidak dapat komen dengan lanjut hal ini kerana masih bersedih. Namun, kami reda dengan apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP), di sini hari ini.
Semalam, polis mengesahkan penemuan mayat dua beranak warga tempatan yang dalam keadaan sudah reput di bilik tidur utama, aras sembilan sebuah pangsapuri di Jalan Bukit Gambir di sini.
Menurut Noor lagi, keluarga mereka juga menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian tersebut.
Katanya, kakaknya yang juga anak kedua daripada tujuh beradik itu tidak bekerja dan tinggal di rumah miliknya sendiri iaitu di pangsapuri berkenaan bersama anak perempuannya.
“Dia telah berpisah dengan bekas suami, saya tidak pasti berapa lama mereka telah berpisah. Kami memang selalu berhubung menerusi telefon dan WhatsApp, saya juga bertemunya bulan lalu kerana dalam tujuh beradik kami, hanya saya dan arwah kakak yang tinggal di Pulau Pinang.
“Adik beradik kami yang lain tinggal di luar Pulau Pinang,” katanya yang memberitahu kedua-dua ibu bapa mereka juga telah meninggal dunia dan arwah juga tidak pernah bercerita mengenai hal-hal peribadi.
“Apa yang saya tahu ialah kakak saya sihat dan tidak ada apa-apa penyakit,” katanya.
Jelasnya, jenazah kakak serta anaknya itu akan dikebumikan di Pulau Pinang selepas selesai proses bedah siasat.
“Lokasi pengebumian masih belum ditetapkan lagi, kami memang orang sini (Pulau Pinang), apa pun kami tunggu hasil bedah siasat,” katanya. – UTUSAN