KOTA BHARU: Kedudukan gandingan bergu wanita negara Pearly Tan dan M. Thinaah dalam program Road to Gold (RTG) tidak terjejas meskipun belum menandatangani kontrak lanjutan bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, atlet yang berada dalam senarai ranking 10 terbaik dunia merupakan prospek emas pada temasya sukan Olimpik tanpa mengira sama ada mereka berada di bawah persatuan sukan kebangsaan atau bergerak secara profesional.
“RTG memberi sokongan kepada semua atlet yang mempunyai ranking 10 terbaik dunia tanpa mengira sama ada mereka berada di bawah persatuan kebangsaan seperti BAM atau bergerak sebagai atlet profesional.
“Mana-mana pemain badminton dengan ranking 10 terbaik dunia tetap mendapat sokongan RTG. Jadi kedudukan Pearly dan Thinaah dalam program ini langsung tidak terjejas,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan ASEAN Y-RoboC’25 dan Hari Kerjaya TVET ILKBS Zon Timur 2025 di Tunjong, di sini hari ini.
Hannah memberitahu, beliau telah menggesa BAM supaya menyegerakan penyelesaian isu kelewatan kontrak Pearly dan Thinaah supaya ia boleh diletakkan titik noktah dalam kadar segera.
Katanya, isu tersebut sudah lama berpanjangan dan beliau sendiri telah memaklumkan hasrat agar ia dapat diselesaikan secepat mungkin kepada pihak BAM sendiri serta presidennya, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
“Paling penting saya tidak mahu isu ini (kelewatan kontrak) menjejaskan prestasi Pearly dan Thinaah. Tengku Zafrul sendiri sudah jumpa mereka dan saya juga telah minta BAM segerakan penyelesaian isu tersebut,” ujarnya.-UTUSAN