ORLANDO: Pengendali Al Hilal, Simone Inzaghi menyifatkan kemenangan dramatik 4-3 ke atas Manchester City dalam suku akhir Piala Dunia Kelab sebagai sesuatu yang luar biasa dan penuh keajaiban.
Jurulatih kelahiran Itali itu mengakui anak buahnya terpaksa beraksi di luar kemampuan biasa untuk menumbangkan skuad gergasi bimbingan Pep Guardiola.
“Kami tahu perlu buat sesuatu yang luar biasa untuk kalahkan Manchester City dan itulah yang pemain-pemain saya lakukan malam ini, mereka benar-benar hebat.
“Kami ibarat mendaki Gunung Everest tanpa oksigen untuk menang perlawanan ini dan kami berjaya lakukannya,” kata Inzaghi.
Inzaghi yang baru sahaja mengambil alih pasukan tiga minggu lalu, menyifatkan kredit kemenangan ini wajar diberikan sepenuhnya kepada pemain atas semangat dan komitmen tinggi mereka di padang.
“Baru tiga minggu kami bersama, tapi mereka betul-betul tunjukkan tahap komitmen yang tinggi. Sebagai jurulatih, saya amat berpuas hati,” katanya.
City sebelum ini menewaskan Juventus 5-2 dan muncul antara pilihan utama kejuaraan selepas meraih tiga kemenangan bersih dalam peringkat kumpulan.
Guardiola mengakui Al Hilal pantas menghukum mereka menerusi serangan balas walaupun City menguasai sebahagian besar perlawanan dengan banyak peluang tercipta.
“Kami terlalu terbuka. Bila mereka lintang, mereka pantas menyerang dan pemain mereka sangat laju,” kata Guardiola. – AGENSI