Kalau boleh mahu jumpa semua penduduk Damak setiap hari

Kalau boleh mahu jumpa semua penduduk Damak setiap hari

BeERSAMA ahli kariah ketika mengadakan ibadah korban Ahli Parlimen Jerantut, Khairil Nizam Khirudin (empat dari kanan) di Pusat Pendidikan Damak Batu 40, Kampung Damak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Seboleh-bolehnya setiap hari saya ingin menziarahi penduduk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Damak, tetapi ada kekangan tertentu seperti menghadiri mesyuarat pengurusan parti serta undangan majlis tertentu di negeri lain yang memakan masa yang agak panjang.”

Demikian kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damak, Zuridan Mohd. Daud, 54.

Katanya, selaku wakil rakyat ketika berurusan dengan penduduk, beliau tidak berdepan masalah kerana setiap kawasan DUN Damak sudah lengkap dengan jalan perhubungan, capaian internet dan kemudahan lain yang disediakan oleh kerajaan negeri.

BIODATA
ZURIDAN MOHD. DAUD
Tugas: Ahli Dewan Undangan Negeri Damak dari Parti Pas
Tarikh lahir:
31 Disember 1971
Tempat Lahir:
Kampung Damak
Pendidikan rendah/Menengah:
 Sekolah Kebangsaan Jengka 16, Maran
 Sekolah Menengah Agama Pulau Tawar, Jerantut, Pahang.
Pengajian Tinggi:
 Ijazah Sarjana Muda
 Pengajian Islam, Universiti Hassan 2,
 Casablanca, Maghribi
– 1994
 Sarjana (MA) dalam bidang Undang-Undang dan Pengajian Feqah dari Universiti Ali Bait, Jordan – 1999.
Pekerjaan profesional:
 Pensyarah di Pusat Bahasa Arab, Institut Kemajuan Ikhtisas Pahang (IKIP) – 1994-2P
 Pengarah Program di Pusat Pengajian Islam Antarabangsa di Kolej IKIP dan Pengarah Program Berkembar antara Universiti Yarmouk Jordan dan Kolej IKIP – 2003 – 2004.
 Pada 2005 beliau bertugas di Universiti Malaysia Pahang sebagai pensyarah dan memegang jawatan Pengarah Pusat Islam UMP – 2005 – 2014.

“Sekiranya tidak apa-apa aktiviti di luar kawasan DUN dan Parlimen di sini, saya lebih kerap menemui penduduk bermula dari waktu pagi hingga ke petang.

“Saya lebih senang menemui penduduk dari rumah ke rumah setiap ceruk di kampung dan taman perumahan, manakala apabila tiba waktu solat saya bersama dengan ahli kariah berkenaan menunaikan ibadat di samping menyampaikan tazkirah berkaitan panduan hidup berasaskan Islam,” katanya kepada Mingguan Malaysia di Temin, Jerantut baru-baru ini.

Zuridan yang dilahirkan di Kampung Damak memberitahu, kebanyakan penduduk terdiri daripada penjawat awam tinggal di kawasan bandar Jerantut dan selebihnya tinggal kampung bertugas di premis kerajaan, manakala selebihnya pengusaha kebun dan ramai dalam kalangan kumpulan petani, penoreh getah, buruh dan sebagainya.

Jelasnya, kawasan DUN Damak juga mempunyai kira-kira 40 peratus penduduk yang merupakan pengundi kalangan kaum Cina dan India tinggal di bandar Jerantut, Sungai Jan, Kampung Sungai Lekok, manakala minoriti Orang Asli tinggal di Kampung Sungai Rengat, Kampung Sungai Berjuang dan Kampung Sungai Kiol.

Katanya, hal yang kerap dihadapi dan perlu penyelesaian segera adalah masalah penduduk seperti bencana banjir, ribut, kebakaran, ditimpa penyakit kronik termasuk Orang Kurang Upaya (OKU) serta kerosakan kemudahan awam serta keperluan menaiktaraf projek untuk keselesaan masyarakat setempat.

Cuma kadang-kadang, katanya, isu yang menjadi rungutan penduduk, adalah bekalan air bersih yang kerap terputus akibat kerosakan paip. Itupun dapat diselesaikan dalam tempoh singkat hasil kerjasama dan bantuan pihak Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) selepas dilaporkan kejadian berkenaan.

“Saya berterima kasih dengan semua agensi kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan yang cukup cakna setiap masalah rakyat di DUN Damak hadapi ketika diajukan semasa sidang Dewan

Undangan Negeri dan agensi terbabit segera tampil turun membantu,” katanya.

Tambahnya, beliau begitu berminat untuk menjalinkan ukhuwah dengan semua pemimpin setempat dan masih berharap kesatuan ummah melalui Muafakat Nasional (MN) akan dapat dihidupkan kembali.

Dalam pada itu, katanya, ketika berziarah penduduk di kawasan DUN Damak beliau akan membuat penjelasan supaya penduduk memperoleh mendapat maklumat yang betul dan elakkan daripada hasutan pihak tertentu menerusi media sosial seperti Facebook dan Tiktok.

Katanya lagi, kewajibannya sebagai pemimpin Islam apabila boleh dikatakan setiap malam hadir atas undangan pengurusan masjid dan surau kawasan DUN Damak termasuk masjid daerah untuk menyampaikan ceramah agama.

“Mengimarah masjid bersama ahli kariah dengan menitip ilmu Islam merupakan pendekatan yang saya lakukan kerana lebih mendekatkan dengan nurani mereka di samping menyelami masalah kebajikan dan masyarakat setempat,” katanya.

Jelasnya lagi, kunjungan atau ziarah juga kerap dilakukan ke rumah kaum Cina dan India termasuk Orang Asli semasa berlaku kematian, sakit kronik, ibu tunggal, OKU, majlis tertentu serta menyampaikan sumbangan menjelang perayaan masing-masing. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN