WOLVERHAMPTON: Diogo Jota diabadikan dalam Hall of Fame pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) Wolverhampton Wanderers sebagai penghormatan paling tulus selepas pemergiannya yang menyayat hati dalam nahas jalan raya bersama adiknya, Andre.
Keputusan luar biasa itu dibuat sebulat suara oleh jawatankuasa Hall of Fame yang diketuai legenda kelab, John Richards sekali gus mengetepikan tradisi biasa yang lazimnya memakan masa berbulan.
Penghormatan itu menjadi simbol kasih sayang peminat dan komuniti bola sepak terhadap Jota yang melonjakkan Wolves ke Liga Perdana Inggeris (EPL) sebelum bergelar bintang Liverpool.
“Ada rasa sedih dan tidak percaya dengan tragedi ini, jadi kami mahu memberi penghormatan ini secepat mungkin.
“Jota bukan sahaja pemain luar biasa ketika musim promosi dan permulaan kami semula di EPL, tetapi 44 golnya di Wolves serta 65 gol di Liverpool membuktikan legasinya luar biasa,” kata John Richards.
Pengarah pentadbiran bola sepak Wolves, Matt Wild berkata penghormatan ini disokong sepenuhnya oleh kelab dan seluruh keluarga besar Wolves.
“Diogo bukan sahaja pemain bola sepak hebat, tetapi seorang yang penuh rendah diri dan berhati mulia sepanjang kariernya bersama kami, dan kehilangannya amat dirasai,” kata Wild.
Sebagai tambahan, dua perlawanan akan datang Wolves termasuk aksi menentang Manchester City akan menjadi pentas utama memperingati mendiang Jota dan Andre.
Hall of Fame Wolves yang ditubuhkan pada 2008 kini menempatkan 39 pemain legenda termasuk nama-nama agung seperti Billy Wright, Steve Bull dan Derek Dougan. – AGENSI