PETALING JAYA: Jabatan Alam Sekitar (JAS) mempertingkat tindakan penguatkuasaan dan aktiviti rondaan harian ke kawasan berisiko tinggi berlaku pembakaran terbuka susulan peningkatan ancaman jerebu di beberapa lokasi negara.
Ketua Pengarah JAS, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaafar berkata, pihaknya turut memantau bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dari semasa ke semasa sebagai langkah proaktif bagi menangani keadaan cuaca berjerebu.
“Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) telah diaktifkan bagi menyelaras tindakan antara agensi kerajaan dalam menangani isu pembakaran terbuka dan menghadapi situasi jerebu negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, semua pemilik tanah disarankan supaya memantau kawasan yang sering dan mudah terbakar seperti tapak pelupusan sampah, hutan, tanah gambut, ladang, kawasan pertanian dan perindustrian.
“Pemilik perlu mengambil langkah sewajarnya bagi mencegah sebarang bentuk pencerobohan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang boleh menyebabkan berlakunya pembakaran terbuka sama ada secara sengaja atau tidak,” katanya.
Wan Abdul Latiff berkata, JAS melalui PTJK sentiasa memantau kualiti udara secara berterusan dan tindakan akan diambil secara bersepadu melibatkan semua agensi berkaitan berdasarkan pelan tersebut.
Katanya, antara langkah yang perlu dilaksanakan termasuk pengaktifan Jawatankuasa Pengurusan Bencana oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di peringkat daerah, negeri dan pusat sekiranya bacaan IPU melebihi 150 selama lebih 24 jam.
“Semua aktiviti di luar bilik darjah hendaklah dihentikan apabila bacaan IPU melebihi 100, manakala sekolah, tadika dan taska perlu ditutup serta-merta apabila bacaan IPU melebihi 200.
“Pihak pengurusan sekolah dan institusi pendidikan awal kanak-kanak turut diarahkan sentiasa memantau bacaan IPU, dan sekiranya trend menunjukkan peningkatan ke arah 200, persediaan penutupan perlu dilakukan segera,” katanya.
Beliau berkata, Operasi Pembenihan Awan (OPA) akan dilaksanakan tertakluk kepada kehadiran awan dan keadaan cuaca yang sesuai sekiranya bacaan IPU melebihi 150 melebihi tempoh 24 jam.
“JAS bersama Kementerian dan semua agensi berkaitan akan terus bertindak secara pantas dan responsif berdasarkan pelan tindakan yang telah digariskan dalam PTJK,” katanya.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip dilaporkan berkata, beberapa negeri di Pantai Barat Semenanjung Malaysia dilanda jerebu rentas sempadan berpunca daripada kebakaran hutan di Sumatera, Indonesia.
Katanya, berdasarkan pencerapan imej satelit NOAA-20 bertarikh 18 Julai 2025 yang dianalisis oleh Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC), sebanyak 79 titik panas dikesan di kawasan Sumatera.
“Kehadiran titik panas itu berkemungkinan menjadi punca kepada keadaan berjerebu yang dibawa oleh tiupan angin barat daya.
“MET Malaysia tidak menjangkakan sebarang hujan atau perubahan arah tiupan angin yang mampu mengurangkan kesan jerebu dalam tempoh beberapa hari ini.
“Ia berdasarkan pencerapan imej satelit NOAA-20 bertarikh 18 Julai 2025 yang dianalisis oleh Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) iaitu sebanyak 79 titik panas dikesan di kawasan Sumatera.
“Kehadiran titik panas itu berkemungkinan menjadi punca kepada keadaan berjerebu yang dibawa oleh tiupan angin barat daya,” katanya dalam kenyataan.
Mohd. Hisham berkata, MET Malaysia tidak menjangkakan sebarang hujan atau perubahan arah tiupan angin yang mampu mengurangkan kesan jerebu dalam tempoh beberapa hari ini. – UTUSAN