SHAH ALAM: Pemain skuad bola sepak wanita kebangsaan, Intan Serah Anisah Zulgafli kini berdepan kemungkinan dikenakan tindakan disiplin oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) susulan tindak-tanduknya terhadap pengadil ketika perlawanan baru-baru ini.
Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram memaklumkan bahawa kes berkenaan kini sedang diteliti Unit Undang-Undang badan induk itu dan mungkin akan dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib untuk tindakan selanjutnya.
“(Kes) Intan dengan Unit Undang-Undang FAM. Itu akan dibawa kepada Jawatankuasa Tatatertib sebab laporan pengadil ada, laporan penilai pengadil ada, semua laporan itu ada.
“Saya mohon kepada semua pasukan, pemain dan pegawai tolong jangan lakukan provokasi terhadap penagdil, biarkan mereka lakukan tugas mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Pembaharuan Perjanjian Penajaan antara FAM dan Kronos serta pelancaran jersi baharu pengadil bagi saingan Liga Malaysia 2025-2026, di sini, hari ini.
Terdahulu, kecoh di media sosial membabitkan Intan Serah apabila dia dikatakan bertelagah dan menunjukkan isyarat kurang sopan ke arah pengadil, Nurul Ain Izzaty Zainal dalam saingan Liga Wanita Nasional (LWN).-UTUSAN